AntarabangsaIsu Semasa

India Lancar ‘Serangan Balas’ Perdagangan Ke Atas AS

India baru-baru ini akhirnya memutuskan untuk meningkatkan tarif sehingga 50% ke atas import 29 barangan dari Amerika Syarikat (AS).

Langkah tersebut dilaporkan telah ditangguhkan buat beberapa kali sejak India mula mengumumkannya pada tahun 4 Ogos tahun lepas.

Kerajaan India berkata pada Jun tahun lepas bahawa ia akan meningkatkan cukai import ke atas barang-barang dari AS termasuk badam dan epal, kerana keengganan Washington untuk mengecualikan New Delhi daripada dikenakan tarif keluli dan aluminium yang lebih tinggi.

Namun, negara itu menangguhkan keputusan untuk meningkatkan tarif ke atas produk AS buat beberapa kali kerana kedua-dua negara telah mengadakan rundingan perdagangan sepanjang tempoh itu dengan harapan mencari penyelesaian.

Walau bagaimanapun, tindakan Presiden AS, Donald Trump membatalkan status perdagangan istimewa yang diberi kepada India pada awal bulan ini menyebabkan New Delhi melaksanakan langkah tersebut.

Memetik laporan Economic Times, seorang pegawai kerajaan India menyatakan bahawa “tidak akan ada lagi penangguhan dalam mengenakan tarif balas” ke atas AS.

Difahamkan, peraturan cukai baru ini akan dikuatkuasakan mulai hari ini.

Sementara itu, Press Trust of India berkata bahawa Kementerian Kewangan akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat walaupun ia telah memaklumkan keputusannya kepada AS.

Trump dan Perdana Menteri India, Narendra Modi juga akan bertemu di sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun pada 28-29 Jun tidak lama lagi, di mana isu perdagangan dijangka akan ditimbulkan.

Tahun lepas, perdagangan barang dan perkhidmatan di antara AS-India merekodkan AS$142.1 bilion (RM592 bilion).

Menurut data rasmi, defisit perdagangan AS dengan India pula bernilai AS$24.2 bilion (RM101 bilion).

Sumber: Straits Times, Business Standard

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker