AntarabangsaIsu Semasa

Barang-Barang “Made In Vietnam” Berasal Dari China?

Vietnam akan mengambil tindakan keras terhadap produk-produk China yang diletakkan label “Made in Vietnam” secara haram oleh pengeksport-pengeksport yang mahu mengelak daripada dikenakan tarif yang dikuatkuasakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas barangan China.

Jabatan Kastam Vietnam dalam satu kenyataan yang diterbitkan di sebuah laman sesawang kerajaan berkata bahawa pihaknya mengesan banyak kes sedemikian di tengah-tengah konflik dagang yang sedang berlaku di antara AS-China.

“Pemalsuan maklumat (negara) asal dan pemindahan barangan secara haram kebanyakannya berlaku dalam sektor tekstil, makanan laut, produk pertanian, jubin, madu, keluli dan besi, dan aluminium serta produk kayu,” kata jabatan itu.

Jelas kastam, sesetengah pengimport didapati telah membungkus semula barangan dari China dalam pembungkusan “Made in Vietnam” dan kemudian memohon sijil asal negara Vietnam untuk mengeksport produk-produk tersebut ke AS, Eropah, dan Jepun.

Sebagai contoh, satu pengeluar produk kayu yang berpangkalan di Vietnam didapati mengimport kayu dari China dan selepas itu mengubah label negara asal produk itu lalu mengeksportnya ke AS.

Justeru, kastam Vietnam sedang berusaha mewujudkan sebuah proses untuk mengenal pasti dan mengenakan penalti dengan lebih berkesan ke atas syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan seperti itu.

Difahamkan, Vietnam telah menjadi salah sebuah benefisiari daripada perang dagang di antara Beijing dan Washington memandangkan sesetengah perniagaan mengalihkan rangkaian bekalan mereka dari China demi mengelak tarif.

Analisis daripada syarikat perkhidmatan kewangan Jepun, Nomura Holdings Inc pada awal bulan ini mendapati bahawa Vietnam memperoleh manfaat dengan mudah menerusi konflik dagang tersebut berbanding negara-negara lain.

Sementara itu, Vietnam juga amat bergantung kepada bahan serta peralatan dari China dalam sektor pembuatannya, manakala AS pula menjadi pasaran eksport yang terbesar bagi negara Asia Tenggara tersebut.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close