Isu SemasaTempatan

AS Beri Malaysia 12 Dron ScanEagle Bernilai RM80 Juta

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan memperoleh 12 buah dron atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai AS$80 juta (RM) daripada Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat di antara bulan November 2019 dan tahun 2022.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia, enam dron pertama akan dihantar pada pertengahan bulan November ini.

Bukan itu sahaja, malah kesemua dron tersebut juga dilaporkan akan dibiayai oleh AS sepenuhnya dan diberi kepada Malaysia secara percuma di bawah program Maritime Surveillance Initiative (MSI).

“AS, menerusi program MSI, telah menyediakan bantuan dari segi keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada sekutu-sekutunya, termasuk Malaysia, untuk meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di seluruh Asia Tenggara.

“Program ini dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak melibatkan sebarang kos daripada kerajaan Malaysia. Selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain juga akan menerima manfaat di bawah MSI bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat di antara agensi penguatkuasa dan ATM,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada minggu lepas.

Tambah kementerian itu lagi, ScanEagle akan membantu Malaysia dalam melakukan pengawasan maritim sementara pihak kemmenterian turut membuat perolehan dua pesawat peronda maritim (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Kementerian Pertahanan berkata, Malaysia amat memerlukan keupayaan intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan-laluan strategik di sepanjang Selat Melaka, Laut China Selatan, dan Laut Sulu.

“Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan pada Khamis menyatakan bahawa Kabinet telah meluluskan perolehan 12 dron ScanEagle tersebut.

Namun, perolehan ScanEagle itu turut menimbulkan kontroversi apabila ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan mendakwa bahawa Malaysia telah bersetuju dengan “agenda imperialis” AS ketika ia menerima dron-dron itu.

Membalas dakwaan Arutchelvan, Liew berkata bahawa Malaysia “mesra (dan terbuka kepada kerjasama dan pengukuhan hubungan ketenteraan) bersama AS dan China, tanpa memihak kepada mana-mana negara tertentu.”

Sumber: NST, The Star, Mkini

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker