AntarabangsaIsu Semasa

Negara Asia Perlu Bersatu Dalam Keadaan Ekonomi Tidak Menentu

Tokoh-tokoh politik dan ahli perniagaan Thailand menggesa semua negara Asia untuk berganding bahu menentang peningkatan dasar perlindungan perdagangan dalam usaha memajukan rantau itu.

“Trend anti-globalisasi, pergerakan anti-perdagangan bebas pada masa kini telah menyebabkan ramai orang gelisah di seluruh dunia. Thailand juga terkesan,” kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somkid Jatusripitak.

Justeru, beliau menyeru negara-negara Asia untuk bersatu-padu, meningkatkan kerjasama dan komunikasi untuk menjadikan Asia lebih kuat di tengah-tengah ketidaktentuan pada zaman ini.

Mengulas tentang ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, Chutima Bunyapraphasara menyatakan bahawa tidak akan ada pemenang dalam perang dagang.

Jelas beliau, Beijing dan Washington perlu menyelesaikan konflik ini menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memandangkan mereka merupakan anggota WTO.

Chutima juga menegaskan bahawa semua negara Asia perlu bersama-sama mencari cara untuk meningkatkan perdagangan dan ekonomi dalam situasi yang tidak menentu ini.

Setiausaha agung Koridor Ekonomi Timur (EEC) Pejabat Thailand, Kanit Sangsubhan berkata, konflik dagang di antara kedua-dua kuasa dunia itu mengganggu rangkaian pengeluaran global, di mana banyak negara serantau adalah pemain penting.

Menurut Kanit, banyak produk Thai dieksport ke China untuk pemprosesan lanjut sebelum dihantar ke AS.

Beliau turut meluahkan keyakinannya terhadap keadaan ekonomi China dan kerjasama di antara negara itu dan Thailand.

Jelas Kanit, pertumbuhan ekonomi China masih pesat manakala ekonomi Thailand pula menyaksikan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang munasabah.

Thailand baru-baru ini juga telah melancarkan ujian rangkaian 5G Huawei Technologies dalam projek EEC bernilai AS$45 bilion (RM187.1 bilion).

Difahamkan, projek EEC menjadi fokus utama bagi kerajaan Thai untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyasarkan pelaburan ke dalam industri-industri berteknologi tinggi.

Ujar Kanit, 5G diperlukan untuk menyasarkan industri-industri di dalam EEC, termasuk automasi dan robotik.

Beliau menyatakan bahawa Thailand telah bekerjasama dengan Huawei dengan lancar selama bertahun-tahun.

Sementara itu, konflik dagang yang dicetuskan oleh AS menjejaskan kepentingan China, AS dan seluruh dunia, kata Li Guixiong, pengerusi Thai Young Chinese Chamber of Commerce.

Justeru, beliau berharap agar AS akan menangani isu ini menerusi dialog dan perundingan bersama China.

Sumber: The Star – Xinhua

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button