AntarabangsaIsu Semasa

Turki Sudah Selesaikan Pembelian Senjata S-400

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu mengumumkan bahawa negaranya sudah pun membeli sistem pertahanan peluru berpandu canggih buatan Rusia, S-400 dan dijangka akan dihantar pada bulan Julai ini.

“Turki sudah membeli sistem pertahanan S-400. Urusniaga itu sudah selesai. Saya harap sistem ini akan dihantar ke negara kami pada bulan depan,” kata Erdogan.

Namun, pembelian senjata itu telah meningkatkan ketegangan di antara Turki dan Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

AS sebelum ini aktif menggesa Turki untuk membatalkan pembelian S-400 kerana senjata itu berpotensi membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting tentang keupayaan jet pejuang halimunan F-35.

Washington turut mengancam untuk membuang Turki daripada program F-35, membatalkan penghantaran 100 buah jet itu kepada Turki, selain daripada mengenakan sekatan ekonomi ke atasnya.

Pada Isnin baru-baru ini pula, pegawai AS mengumumkan bahawa Washington telah menamatkan latihan juruterbang Turki dalam menggunakan F-35 di pangkalan udara di Arizona.

Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patric Shanahan berkata, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada rakan sejawatannya dari Turki, Hulusi Akar bagi memaklumkan keputusan Washington untuk membuang Turki daripada program F-35.

Namun, Turki telah mengkritik surat dari Washington dan berkata bahawa AS tidak memenuhi semangat perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Erdogan juga berikrar untuk mendapatkan jawapan berhubung tindakan AS yang membuang negaranya daripada program F-35 “tanpa asas rasional”.

Tambahnya, Turki bukan sahaja pelanggan, tetapi juga menjadi rakan kongsi dalam projek F-35 tersebut.

“Setakat ini, kita telah membayar AS$1.25 bilion (RM5.2 bilion),” tegasnya.

Sementara itu, Shanahan menyatakan pada Jumaat lalu bahawa AS telah menawarkan kepada Turki untuk membeli sistem pertahanan udara buatan AS iaitu Patriots, namun Erdogan berkata Rusia telah memberi tawaran yang lebih baik, termasuk harga yang lebih berpatutan.

“Ia (S-400) bukan sistem penyerang, tetapi sistem pertahanan. Bukankah kita mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mempertahankan negara kita?

“Adakah kita meminta sistem pertahanan seumpamanya dari Amerika? Ya. Adakah mereka menghantarnya? Tidak,” ujar Erdogan.

Sebelum ini, Turki berulang kai mencadangkan kerjasama bersama AS untuk menilai impak pembelian S-400, tetapi Washington masih belum menerima cadangan itu.

Jelas Erdogan, beliau juga mahu berbincang tentang isu tersebut menerusi telefon bersama AS sebelum beliau bertemu Presiden Donald Trump di Osaka, Jepun pada hujung bulan ini.

Sumber: Al-Jazeera 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button