AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Walaupun Prayut Kekal Sebagai PM Thailand, Cabaran Besar Menanti Beliau

Beberapa undang-undang baru yang digubal secara khusus oleh kerajaan tentera Thailand sejak lima tahun lalu telah membuka laluan kepada Jeneral Prayut Chan-o-cha yang turut dikenali sebagai “Lung Tu” atau “Uncle Tu” untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Prayut mula menjadi Perdana Menteri pada tahun 2014 bukan menerusi pilihan raya, tetapi dengan penggulingan kuasa yang diketuainya terhadap kerajaan demokratik pimpinan Yingluck Shinawatra, adik kepada ahli politik terkemuka Thailand, Thaksin Shinawatra.

Pada waktu itu, tentera menegaskan bahawa penggulingan itu perlu dilakukan bagi menghentikan keganasan yang sudah berlarutan selama beberapa bulan dan untuk membasmi rasuah yang telah mencemarkan Thailand selama berdekad-dekad.

Tetapi menurut penganalisis, peralihan Prayut daripada seorang ketua Junta (tentera) yang berkuasa kepada Perdana Menteri pemerintahan awam (walaupun dengan sokongan tentera) akan menjadi satu cabaran besar buatnya.

Beliau perlu menjaga hubungan yang baik dengan 18 buah parti politik lain yang bergabung dengan parti pro-tenteranya, Palang Pracharath dalam usaha mengekalkan majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Gabungan tentera hanya memegang 254 daripada 500 kerusi dalam Dewan Rakyat, dan pemerhati berpandangan bahawa Prayut berpotensi untuk berdepan undi tidak percaya.

Perbalahan sudah boleh dilihat ketika prosiding Parlimen pada minggu lepas yang menyaksikan Senator dan Ahli Parlimen mengundi untuk memilih calon Perdana Menteri.

Abhisit Vejjajiva, bekas pemimpin Parti Demokrat telah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen apabila partinya itu memutuskan untuk menyokong Prayut sebagai calon pemimpin.

Situasi ini menunjukkan secara jelas bahawa Vejjajiva lebih rela melepaskan jawatannya daripada mengundi untuk Prayut.

Sementara itu, Siripong Angkasakulkiat, anggota sebuah lagi parti yang menyertai gabungan tentera, sanggup berdepan tindakan disiplin dengan tidak mengundi ketika sesi pengundian sedang berlangsung.

Barisan Jemaah Menteri (Kabinet) baru juga akan menyaksikan kelainan yang ketara.

Dalam kerajaan sebelum pilihan raya, Prayut sebagai Perdana Menteri telah memilih anggota-anggota Kabinet dari kalangan orang awam mengikut kehendaknya, sementara menempatkan dua bekas jeneral tentera, Prawit Wongsuwan dan Anupong Paochinda sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri.

Sebelum ini juga, Prayut turut menggunakan Artikel 44, yang memberinya kuasa yang amat luas untuk mengatasi semua undang-undang lain, jika perlu.

Beliau mengguna pakai peruntukan itu untuk mempercepatkan kerja pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan Bangkok ke China menerusi Laos, dan juga menggunakannya untuk untuk memberi moratorium hutang dari segi yuran lesen selama tiga tahun kepada syarikat-syarikat penyiar televisyen yang sedang dibelenggu masalah kewangan.

Tetapi, Prayut dijangka akan kehilangan kuasa utama ini selepas barisan Kabinet baru memulakan tugas.

Beberapa rakan rapat tenteranya dalam pentadbiran sebelum ini pula telah dipindahkan ke Senat. Justeru, pemerhati meramalkan bahawa hanya Anupong dan Prawit sahaja yang akan kekal dengan kedudukan mereka dalam pemerintahan kerajaan baru.

Tetapi, parti-parti lain di dalam gabungan dijangka akan mahu memegang portfolio-portfolio penting seperti perdagangan, pertanian, dan pengangkutan.

“Ia akan menjadi sukar untuk menjalankan pentadbiran. Mereka (tentera) akan perlu memuaskan hati semua Ahli Parlimen, berkongsi manfaat dan sentiasa tawar-menawar,” kata saintis politik Thawee Surarithikul dari Sukhothai Thammathirat Open University.

Sementara itu, Peter Mumford, pengarah di syarikat penganalisis Eurasia Group berkata:

“Daripada perspektif pelabur, Prayut kekal berkuasa menawarkan kesinambungan dasar yang meluas, tetapi risiko politik akan menjadi lebih tinggi berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan perpecahan dalam kalangan gabungan pemerintah baru dan ketidaktentuan tentang berapa lama ia akan mampu mentadbir.”

Namun pada masa yang sama, ramai pihak merasakan bahawa kerajaan Prayut akan mampu mengharungi penggal penuh selama empat tahun.

Wanwichit Boonprong, pensyarah kanan dari Rangsit University menjelaskan bahawa Demokrat bertekad untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka bagi melakukan pembaharuan ekonomi dan agrikultur.

Ujar Boonprong,  pembaharuan itu hanya boleh terlaksana sekiranya mereka kekal sebagai sebahagian daripada gabungan parti tentera dan menyokong kerajaan pimpinan Prayut.

Sumber: The Star/Straits Times/Asia News Network

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker