Isu SemasaPolitikTempatan

Tahun Kedua Lebih Mencabar Buat PH

Kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) masih bergelut dengan pelbagai isu walaupun selepas setahun memerintah Malaysia.

Antara masalah utama yang dialami adalah prestasi kerajaan dalam mentadbir negara. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi “markah” yang rendah kepada anggota-anggota Kabinetnya.

Menurut wartawan veteran Tan Sri Johan Ja’afar, menerusi penulisannya di The Star berjudul “Please stay the course, PH!”, Dr Mahathir menyedari bahawa Kabinetnya terdiri daripada pelbagai individu – daripada yang paling bijak, paling bercita-cita, sehinggalah ke yang paling lemah dan tidak tahu apa-apa.

Pengkritik paling tegar barisan Jemaah Menteri PH pula ialah tidak lain tidak bukan penasihat media dan komunikasi Dr Mahathir sendiri, iaitu Datuk Kadir Jasin.

Euforia kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas kini semakin pudar. Rakyat tidak mahu lagi hanya mendengar perkara-perkara yang sekadar menyedapkan telinga, tetapi mahu segala janji manifesto benar-benar dilaksanakan.

Rakyat juga kini sedang meneliti dan menilai prestasi PH secara kritikal. Sebelum ini, PH menjadi ‘juara’ dalam mengkritik kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

Daripada sini, kita boleh lihat bahawa perbuatan mengkritik senang untuk dilakukan, tetapi realitinya, adalah amat sukar untuk menggubal dasar-dasar yang baik untuk rakyat.

Rakyat mahu melihat hasil yang nyata. Kadir juga berpandangan bahawa tempoh setahun adalah terlalu lama bagi seseorang menteri Kabinet untuk masih ‘belajar’.

Beliau turut menggesa menteri-menteri yang tidak mencapai standard agar meletak jawatan.

Dalam pada itu, kejayaan kempen “Malu Apa Bossku” oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa betapa mudahnya sentimen boleh berubah haluan.

Pada pandangan rakyat, isu kos sara hidup masih belum berjaya diselesaikan oleh kerajaan. Kos sara hidup tinggi amat membebankan golonga-golongan berpendapatan rendah. Harga barang juga tidak menunjukkan sebarang petanda penurunan.

Kini, tiada lagi GST untuk dipersalahkan. Ekonomi juga tidak berada dalam keadaan terbaik dan syarikat-syarikat pula mengecilkan jumlah pekerja. Pengangguran, khususnya dalam kalangan graduan menjadi semakin membimbangkan.

Masih banyak juga janji-janji kempen utama PH yang masih belum ditunaikan. Sebagai contoh, janji untuk menangguhkan pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga gaji mencecah RM4,000 sebulan.

Terdapat pelbagai kekeliruan kerana percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkuasa. Kempen-kempen politik yang tidak realistik kini membebankan PTPTN.

Difahamkan, sekiranya PTPTN terus menangguhkan pembayaran semula hutang pengajian peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,000, perbadanan itu akan dibelenggu hutang bernilai RM76 bilion menjelang tahun 2040.

Selain itu, pandangan-pandangan bahawa Islam kini diancam juga adalah benar bagi kebanyakan orang di luar sana. Sama juga dengan dakwaan bahawa agenda bumiputera sedang terkikis.

Justeru, PH juga tidak boleh memandang rendah terhadap kerjasama UMNO dan PAS. Seruan untuk menyelamatkan Bangsa Melayu dan Islam kini berada pada tahap yang tertinggi.

PH dijangka akan mengharungi tahun kedua pemerintahan yang amat mencabar. Keyakinan rakyat terhadapnya secara perlahan semakin merudum, ditambah lagi dengan ketidaktentuan ekonomi.

PH juga menjanjikan harapan Malaysia yang lebih baik dan walaupun rakyat tidak berharap untuk semua masalah diselesaikan dalam setahun, mereka tetap mahukan perubahan seperti yang telah dijanjikan.

Pemimpin-pemimpin PH mempunyai formula yang betul untuk memenangi PRU14, dan mereka kini harus membuktikan bahawa formula yang sama boleh mengekalkan kedudukan mereka, dan yang paling penting sekali, memenangi pilihan raya yang akan datang.

Sumber: The Star – “Please stay the course, PH!”

Show More

Related Articles

Back to top button