AntarabangsaIsu Semasa

Lelaki Sweden Berjaya Selamatkan Tujuh Cucunya Yang Terperangkap Di Syria

Tujuh orang kanak-kanak warga Sweden, di mana ibu bapa mereka merupakan anggota militan IS yang terbunuh di Syria, akan pulang semula ke negara asal mereka.

Kesemua kanak-kanak itu berada di Erbil, Wilayah Kurdistan dan mereka berjaya disatukan dengan atuk mereka bernama Patricio Galvez.

Michael Skramo – Sumber Imej: Rudaw.net

Galvez dilaporkan telah berusaha bertungkus-lumus untuk membawa cucu-cucunya yang berusia dalam lingkungan setahun sehingga lapan tahun untuk pulang dan dia turut menerima bantuan daripada kerajaan Sweden.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu dikenali sebagai Michael Skramo manakala isterinya pula ialah Amanda Gonzalez. Gonzalez pula ialah anak perempuan kepada Galvez.

Memetik laporan media Norway, The Local, Skramo dilahirkan di Norway tetapi membesar di bandar Gothenburg, Sweden.

Dia dilaporkan mula memeluk Islam pada tahun 2005 dan kemudian pergi ke Raqqa, Syria bersama isteri dan anak-anaknya pada September 2014.

Ibu dan kakaknya berkata, Skramo terbunuh dalam pertempuran terakhir yang berlaku di Baghouz.

Menurut Shiyar Ali, seorang wakil daripada pentadbiran utara Syria, kesihatan kesemua kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan yang teruk apabila mereka mula berada di bawah jagaan Kurdish di Baghouz, yang merupakan tapak terakhir IS sebelum militan itu ditewaskan oleh Syrian Democratic Forces (SDF) dan gabungan tentera antarabangsa pada bulan Mac.

Dalam pada itu, Galvez meluahkan kegembiraannya kerana dia akhirnya dapat bertemu dengan cucu-cucunya selepas empat bulan berusaha.

Dia berjumpa dengan kanak-kanak tersebut di sebuah hospital di Hasakah yang terletak di utara Syria. Menurut Galvez, cucunya yang paling tua mengenali dirinya sejurus mereka bertemu.

“Cucu yang paling tua mengenali saya. Dia berkata ‘ah atuk’,” ujar Galvez.

Tiga cucu yang paling tua dilahirkan di Sweden manakala yang lagi muda pula lahir ketika berada di Syria.

Galvez hanya mengenali wajah cucunya menerusi gambar-gambar yang dihantar oleh anak perempuannya.

Memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat rawatan menjadi keutamaan Galvez.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia menggesa kerajaan Sweden untuk membawa pulang kanak-kanak tersebut.

“Kami mempercayai bahawa Sweden mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang, kemanusiaan, dan kewajipan moral untuk bertindak,” kata Ola Mattsson, ketua kumpulan Save the Children cawangan Sweden pada bulan April lalu.

Ujar Galvez, pegawai kerajaan Sweden pada asalnya bersikap skeptikal, tetapi dia kini berharap agar kerajaan akan mengubah dasar mereka berhubung perkara-perkara berkaitan kes ini.

“Saya rasa (kerajaan) Sweden akan membawa semua kanak-kanak ini pulang,” katanya.

Galvez turut berikrar untuk terus membantu kanak-kanak lain yang menjadi mangsa.

“Kanak-kanak tidak berdosa,” jelasnya.

Sumber: Rudaw.net

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button