MalaysiaPolitik

Pemimpin PH Perlu Akur Keputusan Perdana Menteri

Walaupun lantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersoalkan, beberapa orang pemimpin Pakatan Harapan mengatakan sudah tiba masanya untuk berhenti bertengkar dan membiarkan Latheefa melakukan tugas itu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata realisasi Malaysia Baharu bergantung kepada kejayaan Latheefa dalam menjadikan negara bebas rasuah.

“Kerajaan Pakatan Harapan mesti mampu mencapai matlamat yang lebih besar dalam usaha untuk membina sebuah Malaysia Baharu dan penentangan terhadap rasuah adalah salah satu objektif utamanya,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam satu kenyataan semalam.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, walaupun ada sesetengah individu yang tidak bersetuju terhadap pelantikan Latheefa, menyerangnya secara peribadi adalah sesuatu yang menyinggung perasaan dan sama seperti menjejaskan SPRM dan fungsinya.

“Peranannya adalah untuk merealisasikan harapan rakyat untuk masyarakat bebas rasuah yang kita semua boleh bangga. Saya berharap Latheefa mampu melakukan yang terbaik. Kejayaannya akan menjadi kejayaan negara kita,” katanya.

Walaupun mereka menyokong pelantikan Latheefa oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim dan Tian Chua menyifatkan pelantikannya adalah “sah disisi undang-undang tetapi salah dalam politik”.

Mereka berpendapat bahawa perlantikan itu harus diluluskan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelantikan Awam Utama.

Ketua PKR Johor Hassan Abdul Karim berkata kepimpinan Pakatan tidak sepatutnya membenarkan pelantikan Latheefa kerana ia menyebabkan keretakan dalam parti tetapi mereka juga perlu menerima keputusan itu.

“Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa keputusannya adalah muktamad mengenai perlantikan itu. Sama ada kita suka atau tidak, kita perlu menerima keputusan itu,” jelasnya.

Sokongan untuk Latheefa semakin kuat dengan lebih banyak orang menandatangani petisyen dalam talian yang menyokong pelantikannya.

Sementara itu, pengerusi PSC William Leong berkata badan itu bertekad untuk bertemu Dr Mahathir untuk menentukan fungsinya.

“Kami merancang untuk mengadakan pertemuan pada hari Khamis atau Jumaat dengan Perdana Menteri untuk membincangkan isu pelantikan Latheefa,” kata Leong, yang merupakan Ahli Parlimen PKR Selayang.

Untuk mengembalikan integriti dalam Parlimen, Pakatan telah menyatakan dalam manifesto PRU14 bahawa jawatan penting utama seperti pelantikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mesti diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai.

Pada hari Rabu, Dr Mahathir berkata pelantikan Latheefa adalah keputusan yang dibuat oelhnya sendiri tanpa membincangkannya dengan Kabinet. Pada hari Sabtu, beliau menyatakan bahawa keputusannya untuk melantik Latheefa adalah muktamad.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memilih untuk memendekkan kontrak dua tahunnya yang berakhir pada Mei 2020.

Latheefa keluar PKR sebagai anggota biasa pada 3 Jun sebelum pelantikannya diumumkan pada hari berikutnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker