AntarabangsaIsu Semasa

PM Kemboja Tuduh PM Singapura Sokong Genosid

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen telah menuduh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyokong genosid (pembunuhan beramai-ramai) berikutan komen beliau tentang penaklukan Vietnam ke atas Kemboja pada tahun 1978 yang mengakhiri rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.

Sebelum ini, Lee menerusi laman Facebook menyampaikan ucapan takziahnya kepada Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha ke atas kematian bekas pemimpin dan penasihat diraja, Prem Tinsulanonda pada 26 Mei.

Beliau berkata, era kepimpinan Prem sehaluan dengan lima negara anggota Asean pada waktu itu – Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura – yang bekerjasama untuk membantah “penaklukan Vietnam ke atas Kemboja dan kerajaan Kemboja yang menggantikan Khmer Rouge.”

Ujar Lee, Thailand berada di barisan hadapan dalam berdepan tentera Vietnam di sempadannya dengan Kemboja, dan Prem pula bekerjasama dengan rakan kongsi Asean untuk membantah penaklukan Vietnam di forum-forum antarabangsa.

Jelas Lee lagi, perkara ini menghalang pencerobohan tentera, menghalang daripada berlakunya pengesahan perubahan rejim, dan melindungi keselamatan negara-negara Asean yang lain.

Dalam satu terbitan Facebook pada Khamis, Hun Sen yang memberi maklum balas berkata bahawa beliau amat kesal dengan kenyataan Lee.

“Kenyataannya mencerminkan pendirian Singapura pada waktu itu yang menyokong rejim genosid dan mahu ia kembali di Kemboja,” kata Hun Sen.

Tambahnya, Singapura “telah menyumbang kepada pembunuhan beramai-ramai rakyat Kemboja.”

Difahamkan, penaklukan Vietnam telah menamatkan era rejim Khmer Rouge di bawah pimpinan Pol Pot yang telah mengorbankan hampir dua juta orang.

Tegas Hun sen, kenyataan PM Lee juga merupakan “penghinaan terhadap pengorbanan sukarelawan tentera Vietnam yang membantu membebaskan Kemboja.”

Sementar itu, Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh juga menyifatkan komen lee sebagai “tidak boleh diterima” dan “tidak benar.”

Jelasnya, beliau telah membangkitkan isu ini dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Ng Eng Hen, dan meminta Dr Ng memberitahu Lee untuk membetulkan semula kenyataannya.

Tentera Vietnam berundur dari Kemboja pada lewat tahun 1989, dan peperangan Kemboja-Vietnam ditamatkan secara rasmi menerusi perjanjian damai pada 1991.

Vietnam kemudian menyertai Asean pada 1995, diikuti Kemboja empat tahun kemudian pada 1999.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close