Hiburan

Bagaimana Rihanna Bergelar Pemuzik Wanita Terkaya Di Dunia

Penyanyi, usahawan kosmetik, pereka pakaian dalam dan kini bergelar wanita kulit hitam pertama yang mengetuai jenama fesyen mewah, Rihanna telah mengumpulkan aset bernilai AS$ 600 juta sekaligus menjadi pemuzik wanita terkaya di dunia, lapor Forbes.

Dilahirkan sebagai Robyn Rihanna Fenty di Barbados, wanita berusia 31 tahun itu telah mengumpulkan kekayaan melebihi Madonna (US$ 570 juta), Celine Dion (US$ 450 juta) dan Beyonce (US$ 400 juta) yang juga suaminya Jay-Z baru dinamakan sebagai jutawan bintang rap pertama di dunia.

Sejak muncul dalam industri pada tahun 2003, Rihanna telah memanfaatkan kejayaannya dalam muzik ke dalam bidang keusahawanan dengan melancarkan jenama kosmetik Fenty Beauty yang dimiliki bersama oleh jenama mewah Perancis LVMH pada September 2017 dalam talian dan dengan Sephora.

Jenama kosmetik ini berjaya mencapai kejayaan besar berkat kemasyhuran Rihanna dengan memperoleh pendapatan sejumlah AS$ 570 juta tahun lalu selepas hanya 15 bulan perniagaan.

Related image

Menurut Forbes, majoriti kekayaan Rihanna bukan sahaja berpunca dari konsert jelajah dan lagu, malah turut disumbang oleh jenama pakaian dalamnya sendiri, Savage X Fenty.

Pada bulan Mei, Rihanna menjalinkan kerjasama dengan LVMH untuk melancarkan jenama fesyen mewah yang berpangkalan di Paris yang akan membuat pakaian, kasut dan aksesori yang sedia dipakai.

Label jenama mewah berskala besar terutamanya yang diketuai oleh seorang wanita berkulit hitam, adalah perkembangan besar di dunia fesyen dan jenama Fenty bakal berada sebaris dengan  jenama terkenal dunia seperti Dior, Louis Vuitton, Fendi dan Givenchy dalam konglomerat yang diketuai oleh Bernard Arnault.

“Saya hanya mahu melihat perkara dari perspektif saya. Saya seorang wanita muda berkulit hitam yang gemar mengekspresikan semua idea dan tenaga orang muda,” katanya kepada AFP di Paris baru-baru ini.

Usaha Rihanna untuk menjadi penyanyi terkenal dan ikon fesyen dunia tidak datang dengan mudah. Bapa penyanyi itu sendiri pernah menggunakan namanya untuk meraih keuntungan dan Rihanna turut terlibat dalam kes keganasan rumah tangga di mana bekas teman lelakinya, Chris Brown dikenakan hukuman pada tahun 2009 kerana menyerangnya.

Di samping berusaha untuk melancarkan jenama mewah Fenty, Rihanna juga telah memberi bayangan untuk mengeluarkan sebuah album baru dengan genre reggae tahun ini.

“Saya tidak pernah fikir saya akan menghasilkan wang sebanyak ini tapi kekayaan tidak akan menghalang saya daripada bekerja,” katanya kepada Majalah The New York Times pada bulan Mei.

“Walaupun perniagaan berjalan dengan baik, saya masih mahu melakukan apa yang saya benar-benar gemari.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button