Isu SemasaTempatan

Akibat Kesempitan Hidup, Bekas Mangsa Culik Abu Sayyaf Tekad Kembali Kerja Di Laut

“Saya tidak mempunyai pilihan tetapi harus cuba untuk melupakan peristiwa pahit itu dan kembali semula ke laut untuk mencari rezeki.”

Inilah luahan hati Tayudin Anjut, 48, salah seorang daripada lima rakyat Malaysia yang diculik oleh militan Abu Sayyaf daripada kapal tunda mereka pada tahun 2016 dan menjadi tahanan kumpulan itu selama 8 bulan.

Tayudin yang mempunyai dua orang anak berusia 7 dan 14 tahun kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Taman Ria di Tawau, Sabah bagi menyara keluarganya.

Walau bagaimanapun, pendapatan yang diperoleh menerusi perniagaannya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga, dan situasi terdesak ini membuatkan Tayudin tekad untuk kembali bekerja sebagai krew kapal tunda.

“Saya perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Kaki saya sering menjadi kebas setiap kali saya memikirkan apa yang telah terjadi kepada kami (krew kapal tunda). Selepas peristiwa culik itu, saya tidak pergi ke laut langsung.

“Sekiranya semuanya baik, InsyaAllah saya akan kembali ke laut selepas Hari Raya ini kerana ini sahaja kemahiran yang saya ada,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual telefon.

Pada 18 Julai 2016, Tayudin dan empat lagi rakannya iaitu Abdul Rahim Summas, Jumadil Rahim, Mohd Ridzuan Ismail, dan Fandy Bakran yang berada di atas bot tunda Serudong Tiga telah diculik oleh Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah.

Mereka semua berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina selepas menjadi tebusan selama 8 bulan.

Menurut Tayudin, mereka dilayan seperti hamba dan dipaksa memasak untuk anggota-anggota pengganas tersebut, sementara dia dan rakan-rakannya pula hanya diberi sisa-sisa makanan.

Bukan itu sahaja, malah tebusan juga sering kali diugut oleh Abu Sayyaf untuk dipancung kepala mereka.

Tayudin meluahkan kesyukurannya kerana diselamatkan dan berpeluang untuk menjalani kehidupan bersama keluarganya semula.

“Saya dan mangsa culik lain masih berhubung baik dan kami sudah seperti keluarga. Saya tidak mahu peristiwa itu mengganggu kehidupan saya, selepas ini tumpuan adalah untuk menyara keluarga dengan baik,” ujarnya.

Sumber: The Star, Malaysia Kini – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close