AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Prayuth Chan-o-cha Kekal Berkuasa Sebagai PM Thailand

Pengundian dalam sesi Parlimen baru Thailand pada 5 Jun 2019 telah menyaksikan Jeneral Prayuth Chan-o-cha berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Perdana MEnteri.

Daripada 750 kerusi di Parlimen (500 anggota Dewan Rakyat dan 250 Senat lantikan tentera), Prayuth telah menerima sebanyak 500 undian manakala pesaingnya, Thanathorn Juangroongruangkit hanya menerima 244 undian.

Sebelum pengumuman keputusan, ahli-ahli politik daripada pihak pro-tentera dan anti-tentera terlibat dalam perdebatan hangat yang tidak pernah disaksikan sejak lima tahun lalu, sepanjang Thailand berada di bawah pemerintahan tentera.

Sesi tersebut berlangsung selama 11 jam dan ia turut disiarkan secara langsung di televisyen.

Prayuth yang kini berusia 65 tahun telah dicalonkan sebagai perdana menteri oleh parti tentera, Palang Pracharath.

Sebelum ini, Palang Pracharath berusaha keras selama berminggu-minggu untuk membentuk gabungan yang terdiri daripada 19 parti bagi meraih majoriti tipis 254 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Parti itu kemudian berjaya meraih majoriti berikutan penyertaan Parti Demokrat, yang telah memenangi 53 kerusi, di dalam gabungannya pada saat-saat terakhir pada Selasa.

Veteran Demokrat, Chuan Leekpai pula menyelia seluruh prosiding Parlimen sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Calon Perdana Menteri yang tewas, Thanathorn merupakan pemimpin parti belia, Future Forward Party (FFP) yang menjadi parti ketiga memenangi kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat.

Beliau dicalonkan oleh tujuh parti dalam barisan anti-tentera walaupun digantung daripada prosiding parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan, yang sedang menyiasatnya atas dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya.

Ahli-ahli politik daripada bekas parti pemerintah, Pheu Thai yang memenangi kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat (136 kerusi), turut menyokong Thanathorn.

Di luar Parlimen, Thanathorn berkata kepada pemberita:

“Rampasan kuasa hanya membawa negara kepada jalan mati. Kita perlukan sebuah Parlimen yang mewakili rakyat, bukan menyokong mereka yang mahu terus berkuasa.”

Namun, penyokong-penyokong Prayuth dilaporkan terus mempertahankan beliau.

“Beliau (Prayuth) menyelamatkan kita apabila kita berdepan kesukaran…dan beliau melakukan tugas yang baik di mana pemimpin-pemimpin lain telah gagal,” kata Ahli Parlimen daripada parti Palang Pracharath, Korranit Ngamsukonratana.

Selain itu, para penyokong setia gabungan tentera menegaskan bahawa pelantikan Prayuth sebagai Perdana Menteri akan membawa kepada “kestabilan yang amat diperlukan” di Thailand.

Tetapi, pihak pembangkang pula berpandangan bahawa situasi ini sebenarnya semata-mata untuk melanjutkan pemerintahan tentera dengan bertopengkan demokrasi.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close