Isu SemasaTempatan

Mesyuarat Kerajaan ‘Zon Larangan’ Penggunaan Peranti Elektronik

Zon larangan bagi semua telefon bimbit dan alat peranti digital dikuatkuasakan dalam mesyuarat Kabinet, mesyuarat pasca-Kabinet, dan mesyuarat Exco, memandangkan mesyuarat-mesyuarat tersebut membincangkan perkara-perkara berkaitan dasar dan rahsia rasmi.

Berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada bulan Januari, larangan ini juga meliputi jam tangan pintar, pen pintar, kamera, perakam video dan suara, serta tablet sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang pembocoran maklumat.

Gajet-gajet seumpamanya juga tidak boleh dibawa masuk ke mesyuarat yang membincangkan isu-isu penting seperti keselamatan negara, bajet persekutuan, pertahanan, hubungan antarabangsa, dan mesyuarat peringkat tinggi di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Datuk Sanusi Sidek berkata, peranti-peranti berkenaan turut dilarang dalam perbincangan berhubung tender kerajaan, kegiatan penguatkuasaan, dan semua mesyuarat berkaitan urus tadbir kerajaan.

“Ini menjadi keperluan kerana penggunaan peranti seumpamanya yang tidak terkawal dalam agensi-agensi kerajaan boleh mendatangkan impak negatif dan mengkompromi keselamatan.

“Ia juga boleh melanggar peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata beliau dalam arahannya, menerusi salinan yang diperoleh oleh The Star.

Pada bulan April, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa zon-zon larangan yang melarang penggunaan telefon bimbit atau peranti komunikasi lain yang mampu merakam maklumat dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan dalam usaha mencegah kebocoran maklumat sulit kerajaan.

Jabatan Perdana Menteri (JPM), menerusi maklum balas bertulisnya kepada soalan seorang Ahli Parlimen berkata, zon-zon itu dikuatkuasakan dalam mana-mana mesyuarat penting yang dikategorikan sebagai “kritikal dan berisiko tinggi.”

Difahamkan, arahan berkenaan mula dikeluarkan selepas memo dalaman dari Pejabat Peguam Negara yang berkaitan perkara-perkara di mahkamah telah dibocorkan.

Ujar Sanusi, larangan ini juga perlu dilaksanakan memandangkan kebocoran rahsia kerajaan menerusi telefon bimbit sudah mencapai tahap yang membimbangkan.

“Ketua Jabatan perlu menentukan zon larangan di mana penggunaan telefon bimbit dan peralatan komunikasi lain dilarang.

“Kegagalan untuk mematuhi (peraturan) boleh membawa kepada risiko rahsia rasmi dibocorkan dan ini boleh menjejaskan imej kerajaan dan juga keselamatan negara.

“Ia menjadi tanggungjawab ketua-ketua Jabatan untuk memastikan arahan ini dipatuhi secara tegas di mesyuarat-mesyuarat penting.

“Ia juga bagus jika ketua (jabatan) boleh mengingatkan mereka yang menghadiri mesyuarat-mesyuarat seumpamanya tentang larangan peranti apabila jemputan dikeluarkan,” tegasnya.

Tambah beliau, notis juga perlu diletakkan bagi memberi amaran kepada hadirin tentang larangan itu, dan sesiapa yang gagal mematuhi arahan tersebut akan diambil tindakan.

“Dan jika terdapat sebarang pelanggaran peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi, pengerusi perlu membuat laporan polis dan memaklumkan jabatan kami secara bertulis,” kata Sanusi.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button