Gaya Hidup

Adakah Aplikasi Cari Jodoh Boleh Menemukan Anda Dengan Pasangan?

Orang  ramai kini bertemu dengan bakal pasangan mereka secara atas talian. Terdapat pelbagai aplikasi cari jodoh yang boleh digunakan untuk mencari teman hidup pada masa kini.

Terdapat aplikasi Tinder di mana lelaki dan wanita mencari segala-galanya termasuk pasangan hidup, teman berseronok, pemandu pelancong dan juga pelanggan pemasaran pelbagai peringkat.

Kaedah aplikasi ini amat mudah. Lihat orang yang anda suka? Leret ke kanan. Jika anda tidak berkenan? Leret ke kiri. Terdapat juga pilihan untuk leret ke atas. Tetapi ianya dianggap tindakan terdesak dan jarang digunakan.

Terdapat juga Coffee Meets Bagel (CMB) yang memaparkan profil pengguna yang hanya bersesuaian dengan latar belakang dan keutamaan mereka. Pengguna aplikasi ini biasanya cenderung untuk mencari teman hidup.

Selain itu, aplikasi Bumble hanya membenarkan wanita untuk memulakan langkah pertama manakala aplikasi Happn pula menunjukkan kepada anda profil seseorang yang berada berhampiran lokasi anda.

Ramai orang cuba menggunakan aplikasi cari jodoh atas talian setelah mendengar cerita dari rakan-rakan mereka yang bertemu jodoh melalui aplikasi-aplikasi tersebut.

Namu demikian, perkenalan dan pertemuan secara dalam talian agak memenatkan kerana perbualannya sering kali berulang-ulang. Soalan lazim yang ditanya adalah siapa anda, apa yang anda lakukan atau di mana anda membesar.

Ia juga boleh bertukar menjadi sesuatu yang membosankan apabila anda pastinya bertemu dengan lebih banyak lelaki hidung belang berbanding lelaki yang bersungguh-sungguh mencari jodoh.

Walaupun perkenalan di aplikasi cari jodoh tidak menjanjikan perhubungan, ia memberikan anda peluang untuk mengetahui berapa baik anda bergaul dengan personaliti individu yang berbeza.

Di sinilah munculnya paradoks pilihan iaitu mempunyai terlalu banyak pilihan sehingga menyukarkan anda memilih. Dengan begitu banyak pilihan, bagaimana anda tahu siapa “yang terbaik”? Dan bagaimana pula jika anda tidak memilih “yang terbaik”?

Mungkin setelah penat mencari dan memilih, anda akan berhenti dan mula menghargai kehidupan solo anda. Jika pun seseorang menghargai masa makan malam, menonton filem dan percutian mereka secara solo, mereka kadang-kadang mahu menikmati kehidupan berteman.

Ia terpulang kepada anda. Aplikasi cari jodoh wujud dalam talian dan anda mempunyai hak untuk menggunakannya atau tidak.

Tags
Show More
Back to top button