Isu SemasaTempatan

Adakah Anwar Lebih Mengutamakan Rakyat Berbanding Dr Mahathir?

Pada penghujung bulan April lalu, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata bahawa keperluan rakyat akan menjadi keutamaannya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 nanti.

Sebagai seorang ahli politik, ini merupakan kata-kata ‘populis’ yang biasa untuk diucapkan demi memenangi hati rakyat.

Anwar turut menegaskan bahawa menyelesaikan masalah rakyat memang telah menjadi pegangannya sejak beliau dipenjarakan buat pertama kali kerana membela nasib rakyat dalam Demonstrasi Baling pada tahun 1974.

“Kita baru 10 bulan, saya ambil alih (jawatan PM) tak tahu bila lagi. Lepas Mahathir jadi perdana menteri, aku (pula.)

“(Apabila tiba) giliran saya, saya akan teruskan dan tak akan lupa bagi tumpuan nasib rakyat. Tak ada guna kalau saya jadi perdana menteri kalau saya tak fikir masalah rakyat.

“Ini fahaman saya, kali pertama saya dipenjara (kerana) isu Baling, isu kemiskinan orang Baling, isu harga getah jatuh dan kerajaan tak ambil peduli. Saya masuk penjara sebab himpun mahasiswa tuntut kerajaan ambil berat,” katanya ketika berucap di program Bicara Perdana di Tanah Merah, Kelantan pada 27 April, memetik laporan MalaysiaKini.

Anwar juga berkata, beliau akan meneruskan usaha kerajaan, tetapi tidak akan mengubah sebarang dasar, dan memerintah dengan ‘gaya’ yang berbeza.

“Apabila tiba masanya, giliran saya pula (jadi Perdana Menteri) yang akan teruskan usaha kerajaan dan membela nasib rakyat.

“Saya tidak akan ubah dasar, kecuali mungkin mengubah gaya,” ujar beliau.

Namun begitu dalam konteks ini, adakah Anwar mempunyai maksud tersirat yang ingin disampaikan?

Apabila berkata rakyat akan menjadi keutamaannya selepas menjadi perdana menteri, adakah beliau bermaksud bahawa bahawa Dr Mahathir Mohamad tidak mengutamakan rakyat?

Perkara ini dipersoalkan oleh seorang pengguna Twitter, Mathis Sarawanan, merujuk kepada tajuk berita MalaysiaKini – “Anwar: When I’m PM, rakyat will be my priority.”

Mathis berkata, “jadi adakah anda bermaksud @chedetofficial (akaun Twitter Dr Mahathir) tidak mengutamakan rakyat? @anwaribrahim (akaun Twitter Anwar)”.

Perkara ini turut mendapat respon oleh beberapa orang pengguna Twitter yang lain.

Pengguna yang dikenali sebagai Pecal Lele berkata bahawa Anwar mungkin merasakan Dr Mahathir perlu mengutamakan rakyat lebih daripada “ahli keluarganya” sendiri.

The Blunt Object pula berpandangan bahawa Anwar sanggup berkata apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Indera pula menganggap Anwar dan Dr Mahathir “dua kali lima” sahaja, di mana mereka hanya mengejar kuasa dan kekayaan semata-mata dan tidak mempedulikan rakyat lagi.

Selain daripada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Kedah, Datuk Johari Abdul dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan bahawa segala masalah di Kedah akan dapat diselesaikan sekiranya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut Johari, penyelesaian akan dapat diatasi apabila Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh terdekat berdasarkan perjanjian sosial di kalangan pucuk pimpinan PH.

Tegasnya lagi, beliau akan menjadi individu pertama yang akan mengemukakan penstrukturan semula Kedah kepada Anwar agar menjadi sebuah negeri maju di Malaysia.

“Saya amat mengharapkan, bila Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri sayalah orang pertama akan memohon kepada Datuk Seri Anwar untuk melihat semula apakah perkara yang boleh kita bangkitkan, dan bangunkan dengan pantas

“Saya mempunyai idea-idea tertentu dan begitu saya yakin dengan adanya Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri, masalah-masalah yang selama ini menghambat kita akan dapat kita selesaikan,” katanya selepas menutup siri Jelajah MPN Keadilan Negeri Kedah 1.0 Parlimen Sungai Petani di Kampung Pengkalan Pengapit Batu, Sungai Petani, Kedah pada petang Sabtu.

Bukan itu sahaja, malah Johari turut mendedahkan bahawa Kedah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam, tetapi sayangnya ia juga menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia.

Jadi, apakah maknanya semua ini?

Mula-mula Anwar memberi petanda seolah-olah beliau ‘lebih mengutamakan’ rakyat berbanding Dr Mahathir selepas menjadi Perdana Menteri.

Kemudian, Johari pula berkata bahawa pelantikan Anwar sebagai pemimpin tertinggi negara akan mampu menyelesaikan semua masalah di Kedah.

Adakah ini bermakna bahawa Anwar tidak yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir dalam menyelesaikan masalah rakyat di seluruh negara dan juga Kedah?

Lebih menarik lagi, Dr Mahathir merupakan anak kelahiran Kedah selain daripada menjadi Ahli Parlimen Langkawi.

Anaknya pula, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

Daripada kenyataan Johari pula, ia dilihat seperti beliau lebih yakin kepada kepimpinan Anwar dan merasakan Dr Mahathir dan Mukhriz tidak mampu untuk membangunkan Kedah.

Apa pula kata netizen tentang perkara ini?

Rata-rata netizen di ruangan komen Facebook berpandangan bahawa tiada keperluan untuk menunggu Anwar menjadi Perdana Menteri untuk membangunkan kedah dan terdapat kemungkinan juga Johari mahu merebut jawatan Menteri Besar daripada Mukhriz.

Dalam dunia politik, tiada perkara yang kekal. Kawan boleh jadi lawan, dan juga sebaliknya. Sebagai contoh, Dr Mahathir dan Anwar pada asalnya ibarat bapa dan anak, mentor dan mentee.

Kemudian hubungan mereka retak apabila Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 dan dipenjarakan atas kesalahan rasuah.

Namun, kedua-dua pemimpin bersemuka semula pada 2016 selepas 18 tahun tidak bersua, dan gabungan mereka merupana antara faktor yang membawa kepada kemenangan bersejarah PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Tetapi, matlamat utama gabungan semula Anwar dan Mahathir adalah untuk menggulingkan pemerintahan Datuk Seri Najib.

Kini, walaupun hubungan kedua-dua gergasi politik itu dilihat berada dalam keadaan baik, tidak mustahil untuk wujud konflik dalaman yang kita tidak akan didedahkan kepada umum.

Pasti akan terdapat kem Anwar dan kem Mahathir, dan Johari dilihat lebih yakin dengan kepimpinan Anwar berbanding Dr Mahathir.

Berkenaan spekulasi Johari mahu menjadi Menteri Besar Kedah selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, perkara itu juga tidak mustahil untuk susulan kenyataan Johari yang mahu menjadi ‘individu pertama’ untuk mengemukakan penstrukturan semula negeri tersebut kepada beliau.

Seseorang Perdana Menteri juga mempunyai kuasa untuk memilih anggota Kabinetnya sendiri, jadi terdapat kemungkinan untuk berlaku rombakan selepas Anwar dilantik menjadi pemimpin negara.

Sekiranya senario ‘penggulingan’ Mukhriz benar-benar berlaku, ia akan menandakan kali kedua beliau dipecat sebagai Menteri Besar Kedah, di mana insiden yang pertama berlaku pada tahun 2016 kerana beliau secara terang-terangan mengkritik Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1MDB.

Jadi, adakah sejarah lama akan berulang? Terdapat kemungkinan tinggi ia tidak akan berlaku, namun pada masa yang sama, ia juga tidak mustahil.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close