AntarabangsaIsu Semasa

Kursus Kahwin: Relevan Atau Tidak?

Di Malaysia, setiap pasangan beragama Islam yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga wajib menjalani kursus pra-perkahwinan atau lebih dikenali mudah sebagai ‘kursus kahwin’.

Mengapa kursus kahwin penting dan perlu dihadiri oleh mereka yang mahu menamatkan zaman bujang?

Kursus yang selalunya diadakan selama dua hari ini telah mula diwajibkan bagi bakal pengantin sejak tahun 1990-an lagi, dengan tujuan memberi pendedahan kepada mereka tentang senario sebenar di dalam alam perkahwinan.

Antara perkara utama yang disentuh termasuk soal hukum-hakam, proses dan prosedur perkahwinan, hubungan suami isteri bersama keluarga dan mertua, serta cara-cara menjaga dan mengekalkan keharmonian rumah tangga berlandaskan syariat Islam.

Sijil kursus kahwin yang diperoleh setelah tamat kursus juga sah digunakan seumur hidup (sebagai contoh, seseorang itu boleh menggunakan sijil yang sama sekiranya memutuskan untuk berpoligami).

Walau bagaimanapun, wujud sesetengah pihak yang mempersoalkan kerelevenan kursus kahwin kerana tidak berpuas hati dengan cara ia dikendalikan.

Antara aduan utama membabitkan lawak kotor tentang isu-isu “dalam bilik tidur” dan perbuatan segelintir penceramah yang seolah-olah merendah-rendahkan golongan wanita.

Antara komen netizen:

 

 

Lebih memburukkan keadaan lagi, berlaku satu insiden baru-baru ini yang menyaksikan seorang penceramah kursus kahwin mengeluarkan kenyataan berkontroversi bahawa wanita yang tidak menutup aurat layak untuk “dicabul dan dizina.”

Bukan itu sahaja, malah menurut Ashraff Nazrin, salah seorang peserta yang menghadiri program itu, penceramah tersebut juga telah menyamakan kaum hawa dengan buah durian, sambil menggunakan analogi orang menjual buah di tepi jalan.

Jelasnya, “kalau buah yang dikopek sudah nampak isi, orang cucuk isinya dengan jari. Tapi kalau tak kopek dan tak nampak isi, orang tak usik.”

Perbuatan yang dianggap menghina ini ternyata mencetuskan kemarahan para peserta yang menghadiri program tersebut.

Kejadian ini turut menerima kecaman hebat di media sosial, sehinggakan wujud gesaan agar penceramah tersebut diberhentikan.

 

RELEVAN ATAU TIDAK?

Oleh yang demikian, adakah kursus kahwin tidak lagi relevan kerana berlakunya segelintir insiden tidak bertanggungjawab seperti ini?

Jawapannya tidak. Matlamat utama kursus tersebut adalah untuk mendidik dan memberi pendedahan tentang kehidupan berumah tangga.

Perkahwinan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Akan timbul pelbagai dugaan yang akan menguji sesuatu institusi kekeluargaan itu.

Seperti yang telah dikatakan di atas, kursus kahwin menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk hukum-hakam yang mungkin ramai orang kerap terlepas pandang.

Lebih-lebih lagi apabila bercakap tentang isu membabitkan talak atau penceraian. Kuasa talak terletak di tangan suami dan ia mempunyai tiga peringkat iaitu talak satu, talak dua, dan talak tiga.

Ini merupakan salah satu perkara paling mustahak dalam perkahwinan yang wajib diketahui oleh semua individu yang mahu berumah tangga.

Kursus kahwin menjelaskan secara terperinci kepada bakal pengantin cara-cara untuk menangani konflik dalam rumah tangga, bagaimana talak boleh terjatuh, dan sebagainya.

Kajian juga mendapati bahawa rata-rata kes penceraian yang berlaku berpunca daripada perkara-perkara yang amat remeh, termasuk:

1. Isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai

2. Isteri suka membasuh baju pada waktu malam

3. Suami tidak suka isteri makan di dalam kenderaan

4. Perbezaan fahaman politik

5. Gaji suami lebih rendah

6. Pasangan tidur berdengkur dan gemar membeli belah

Sehubungan dengan itu, sebanyak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merekodkan 2,932 kes percerai­an di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2013 – 2017.

Bagi golongan bukan Islam pu­la, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sekiranya kursus kahwin terus dihentikan, maka tidak mustahil akan berlaku lebih banyak kes penceraian disebabkan perkara-perkara remeh memandangkan pasangan suami isteri tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan konflik rumah tangga dengan baik.

Malah, mungkin perlu ada pertimbangan untuk mewujudkan kursus kahwin khas bagi golongan bukan Islam juga dalam usaha memastikan kes penceraian tidak terus meningkat.

Justeru, kursus kahwin masih relevan dan amat wajar untuk diteruskan.

Namun pada masa yang sama, pasangan-pasangan yang menghadiri kursus kahwin perlu memasang niat yang betul.

Jangan ambil mudah kursus itu dan hanya pergi untuk mendapatkan sijil semata-mata semata-mata. Dalami segala ilmu yang dipelajari dan amalkannya apabila sudah melangkah ke alam perkahwinan.

CONTOHI RASULULLAH S.A.W DALAM MENYAMPAIKAN DAKWAH

Tetapi bagi menangani dan mengelak daripada berulangnya lagi insiden-insiden berunsur penghinaan, pihak berwajib perlu menjalankan saringan dan tapisan bagi memilih penceramah-penceramah yang bukan sahaja berilmu, tetapi menyampaikan ilmu itu secara berhemah.

Amat tidak baik sekiranya seseorang penceramah, lebih-lebih lagi yang bergelar ‘ustaz’ atau ‘ustazah’, menyampaikan ilmu dengan cara menghina, memerli atau sebarang perbuatan yang merendah-rendahkan orang lain.

Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh utama ketika menyampaikan dakwah atau ilmu berkaitan agama Islam.

Baginda melakukannya dengan penuh kesantunan dan berlemah lembut.

Sebagai contoh, ketika seorang arab badwi telah membuang air kecil di dalam masjid sehingga menyebabkan orang ramai berang.

Rasulullah S.A.W pula langsung tidak menunjukkan sifat marah, di mana baginda kemudian bersabda:

“Biarkan dia (hingga selesai membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau setimba air ke atas kencing itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan.” – (Riwayat al-Bukhari)

Daripada peristiwa ini, apa yang boleh dipelajari adalah penyampaian dakwah perlu dilakukan secara lemah-lembut dan kesantunan.

Menerusi akhlak yang mulia, orang lain akan mudah menerima dakwah yang disampaikan berbanding tindakan kekasaran yang hanya akan menyebabkan mereka lebih menjauhkan diri.

Jadi jika hendak menegur tentang aurat sekali pun, ia perlu dilakukan secara berhemah tanpa melukai perasaan sesiapa pun.

Bagi orang ramai pula, tidak dinafikan bahawa kekurangan atau kekhilafan yang berlaku dalam segelintir sesi kursus kahwin telah menyebabkan sesetengah orang terasa hati.

Peribahasa “hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” itu ada betulnya juga, tetapi dalam perkara ini, adalah lebih baik jika kita mengambil pendekatan “dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk.”

Terdapat pelbagai tempat yang menyediakan kursus kahwin di seluruh negara, jadi anda mempunyai pilihan untuk memilih tempat yang mengendalikannya secara baik.

 

MODUL BARU YANG LEBIH KOMPREHENSIF AKAN DIWUJUDKAN

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan pada tahun lepas berkata bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mewujudkan modul baru yang lebih komprehensif untuk kursus pra-perkahwinan berbanding modul sedia ada.

“Modul baru untuk kursus perkahwinan ini termasuklah mengenai tanggungjawab suami-isteri, komunikasi yang lebih baik di antara kedua pihak supaya dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik, bukan sekadar mengenai apa itu perkahwinan, rukun perkahwinan dan perkara sah perkahwinan.

“Modul baru untuk kursus perkahwinan ini kita rasa perlu dilaksanakan kerana modul perkahwinan yang sedia ada, orang hadiri cuma untuk dapatkan sijil yang melayakkan untuk berkahwin,” katanya.

Jelas beliau lagi, perkahwinan ini juga ibarat perjanjian yakni kehidupan panjang yang memerlukan persefahaman.

Justeru latihan yang sewajarnya diperlukan agar tempoh awal perkahwinan yang paling sukar (6 bulan pertama) bagi suami isteri untuk memahami satu sama lain, akan dapat ditempuhi dengan baik.

Menerusi modul baru ini juga, pasangan akan didedahkan dengan kemahiran untuk melayari bahtera dengan tekanan keluarga, persekitaran dan pekerjaan.

“Terlalu banyak perubahan dalam kehidupan selepas berkahwin yang akan dihadapi, oleh itu dengan adanya modul baharu ini, sekurang-kurangnya boleh menyiapkan pasangan untuk menghadapi tekanan sebegini,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close