Gaya HidupMakan & Minum

Lemang Periuk Kera: Istimewa Tapi Kotor Dan Ancam Kepupusan?

Lemang periuk kera menjadi semakin popular dan pastinya akan menjadi hidangan istimewa di Aidilfitri kerana ia dikatakan lebih enak daripada lemang biasa yang dimasak menggunakan buluh.

Walau bagaimanapun, memasak beras pulut dalam periuk kera telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pencinta alam kerana penuaian tumbuhan itu secara berterusan akan mengakibatkan kepupusan spesiesnya.

Pensyarah Universiti Pertanian Malaysia, Dr K. Daljit Singh berkata jika lemang periuk kera terus dijual, pihak berkuasa perlu segera mengkaji cara terbaik untuk memelihara tumbuhan itu daripada terancam kepupusan.

“Ini bukan sesuatu yang baru … mesti ada penguatkuasaan dan jika orang awam mendakwa lemang periuk kera boleh membantu meningkatkan pendapatan mereka, maka pihak berkuasa juga perlu meningkatkan aktiviti penanaman semula.

“Ini untuk memastikan populasi tumbuhan periuk kera tidak akan terjejas dan spesis yang diancam kepupusan juga harus menjadi pengetahuan awam supaya orang dapat membezakannya apabila membeli dari pedagang,” ujar Daljit yang juga pakar dalam pemulihan hutan.

Related image

Isu ini dibangkitkan di media sosial oleh penyelidik dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam botani dan pemuliharaan biologi, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad, yang menyatakan keprihatinannya terhadap hasil penuaian tumbuhan periuk kera baru-baru ini.

Menurut Dr Abdul Latif dakwaan para peniaga bahawa tindakan mereka tidak akan mengancam tumbuhan periuk kera adalah tidak relevan kerana hanya mereka yang berada di Institut Penyelidikan Perhutanan dan pakar di universiti dapat menilai ancaman terhadap survival spesies terancam.

Dalam pada itu, akaun Twitter rasmi @ZoologiMy menyifatkan hidangan lemang periuk kera di hari raya bukan pilihan yang bijak.

Menurut akaun itu, hal ini kerana tumbuhan periuk kera liar merupakan mangkuk tandas buat haiwan mamalia seperti Kelawar dan juga tupai.

Satu kajian baru yang dilakukan oleh sekumpulan saintis dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) mendapati tumbuhan karnivor ini bertahan kerana kotoran daripada kelawar.

'Periuk Kera' - WORLD OF BUZZ

Kelawar Hardwicke dikatakan menjadikan tumbuhan tersebut sebagai tempat tinggalnya dan periuk kera meraih sumber nutrien pentingnya daripada kotoron mamalia tersebut.

Periuk kera yang dikunjungi oleh kelawar mempunyai lebih banyak nitrogen di dalam daun mereka berbanding tumbuhan kawalan.

Malah, najis kelawar boleh menyumbang sekurang-kurangnya 34 peratus daripada keperluan nutrien untuk periuk kera.

Jadi, anda mungkin mahu berfikir dua kali untuk menikmati hidangan lemang periuk kera di musim perayaan nanti!

Show More

Related Articles

Back to top button