AntarabangsaIsu Semasa

Singapura Masih Belum Tetapkan Pendirian Terhadap Huawei

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyatakan bahawa republik itu masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pendiriannya terhadap Huawei.

Pada masa yang sama, Singapura juga masih belum menetapkan lagi konfigurasi rangkaian serta peralatan yang ia bercadang untuk gunakan.

Hsien Loong berkata demikian bagi menjawab soalan di ISS Shangri-La Dialogue ke-18, berikutan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia sudah membuat pendirian untuk terus menyokong syarikat teknologi gergasi China tersebut walaupun Huawei menerima tekanan di peringkat antarabangsa, termasuk larangan yang dikenakan ke atasnya oleh Amerika Syarikat (AS).

“Singapura lebih kecil daripada Malaysia. Kami sedang dalam proses menentukan dan memilih sistem 5G serta peralatan kami.

“Kami belum memutuskannya lagi. Kami juga masih belum selesai dengan konfigurasi rangkaian atau peralatan apa yang akan digunakan. Siapa yang akan menjadi pembekal….Kami sedang mengkaji perkara ini secara teliti.

“Kami berunding dengan industri. Kami berunding dengan pengawal selia yang mesra dan kami akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” kata Hsien Loong.

Pada Khamis, Dr Mahathir yang berada di Tokyo, Jepun pada waktu itu berkata bahawa Malaysia tidak terkesan dengan tuduhan terhadap Huawei yang mendakwa bahawa teknologinya digunakan bagi tujuan pengintipan.

“Kita terlalu kecil untuk mendatangkan impak terhadap syarikat seperti Huawei. Betul, mungkin berlaku sedikit pengintipan, tetapi apa sangat nak diintip di Malaysia?,” katanya dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) 2019.

 

Sumber: The Sun Daily

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close