Bisnes & Ekonomi

Malaysia Cadangkan Penggunaan Mata Wang Baru Untuk Asia Timur

Malaysia mencadangkan penggunaan mata wang baru berdasarkan emas kerana ia adalah lebih stabil berbanding dengan perdagangan mata wang semasa yang bersifat manipulatif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dengan menggunakan logam berharga, ia boleh digunakan untuk menilai aktiviti eksport dan import di kalangan negara-negara Asia Timur.

“Kita boleh membuat penyelesaian menggunakan mata wang baru itu. Mata wang itu mesti berkaitan dengan mata wang tempatan dan kadar pertukaran perlulah boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.

“Dengan cara itu, kita tahu berapa banyak yang kita berhutang, berapa banyak yang perlu kita bayar dalam mata wang khas Asia Timur,” katanya semasa sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa ke-25 (Persidangan Nikkei).

Perdana Menteri berkata mata wang baru itu juga boleh diperluaskan ke seluruh negara termasuk di luar rantau Asia Timur.

“Jadi, untuk Timur Asia, jika anda ingin bersama, kita harus bermula dengan mata wang dagangan biasa, bukan untuk digunakan secara tempatan tetapi untuk tujuan menyelesaikan perdagangan”.

Beliau berkata kini pasaran global terikat kepada dolar AS, membuka mata wang untuk dimanipulasi.

“Hanya kerana satu negara terjejas, terdapat kesan kepada negara-negara lain. Malaysia sangat stabil pada tahun 1997 … tetapi kerana masalah yang berlaku di Thailand (semasa krisis kewangan Asia), mereka berkata kita mesti menambat mata wang Malaysia juga.

“Apa yang berlaku? Peniaga mata wang menjual mata wang Malaysia dengan rendah dan nilai mata wang Malaysia menyusut.

“Perdagangan mata wang ini bukan sesuatu yang sihat kerana ia bukan tentang prestasi ekonomi negara tetapi ia adalah mengenai manipulasi.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa jika nilai mata wang sesebuah negara perlu dinaik atau diturunkan, ia perlu dilakukan oleh sebuah forum antarabangsa dan bukan oleh mana-mana negara.

Atas sebab ini, Dr Mahathir menyelar Amerika Syarikat kerana bertindak melabelkan negara-negara di dunia.

“Amerika Syarikat suka meletakkan label jika sesebuah negara itu baik, negara ini tidak baik dan memberitahu negara mengenai cara untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Anda tidak demokratik. Itu bukan tugas negara anda untuk membuat keputusan. Sekiranya anda ingin hidup dalam dunia yang bersatu, dunia yang stabil, kita mesti mengambil jalan keluar dari kesepakatan antara semua negara yang mempunyai kepentingan dalam masalah itu.”

Sementara itu apabila ditanya sama ada yen atau yuan boleh digunakan sebagai mata wang bersama di Asia, Dr Mahathir menjawab: “Jika kita cuba mempromosikan mata wang kita sendiri akan ada konflik.

“Tetapi jika kita mempunyai mata wang yang sama untuk Asia Timur, mata wang perdagangan biasa yang tidak digunakan di setiap negara tetapi untuk tujuan perdagangan, maka akan ada kestabilan.

“Tetapi cuba untuk mempromosikan yen atau yuan, itu bukanlah cara yang sesuai,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button