Isu SemasaTempatan

Lelaki Warga Indonesia Didakwa Terlibat Dalam Aktiviti Pengganas

Seorang lelaki warga Indonesia bernama Muhammad Amru Lubis telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat, 31 Mei 2019 atas dua pertuduhan melakukan persediaan untuk melakukan perkara-perkara berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan yang direkodkan daripada lelaki berusia 49 tahun itu selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh Hakim Norshila Kamaruddin.

Muhammad Amru didakwa telah bersetuju untuk menyediakan latihan membuat bahan letupan kepada ahli-ahli kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai “Sejati Sejiwa” dalam persediaan melakukan perbuatan keganasan.

Kesalahan tersebut dilakukan di G-02-12, Jalan SM2, Taman Subang Mas di sini pada pukul 6.12 petang, 7 Mei lalu dan dituduh mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan bersalah, Muhammad Amru berdepan  hukuman penjara maksimum selama 30 tahun dan denda.

Dia juga didakwa atas kesalahan memiliki bahan-bahan berkaitan pengganas IS di telefon bimbitnya pada masa, tempat, dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan tersebut pula, dia didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun, atau denda, dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana barangan berkenaan, jika disabitkan bersalah.

Sebutan kes ditetapkan pada 29 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close