AntarabangsaIsu Semasa

Dua Parti Politik Thai Akan Sertai Gabungan Tentera?

Dua parti politik Thailand, iaitu Demokrat dan Bhumjaithai dilaporkan telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti pro-tentera, Palang Pracharath, bagi membincangkan perjanjian berpotensi untuk terus mengekalkan Jeneral Prayuth Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri negara itu berikutan pilihan raya umum yang telah selesai sejak lebih dua bulan lalu.

Sekiranya perjanjian dimeterai, ia akan membawa kepada kegagalan Barisan Demokratik pembangkang dalam memastikan anggota-anggota junta (tentera) tidak terus mendominasi pentadbiran kerajaan selama lima tahun selepas tentera merampas kuasa.

Memetik laporan Reuters, kedua-dua buah parti tersebut akan diberi tawaran secara rasmi oleh Palang Pracharath, parti tentera yang ditubuhkan pada tahun lepas oleh anggota-anggota Kabinet junta.

Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Demokrat dan Bhumjaithai akan memberi majoriti tipis kepada gabungan tentera di dalam Dewan Rakyat.

“Kami yakin, tetapi kami memerlukan komitmen daripada semua rakan gabungan,” kata Uttama Savanayana, ketua Palang Pracharath.

Puttipong Punnakanta, salah seorang ahli lembaga Palang Pracharanth dan anggota parlimen turut meluahkan keyakinannya bahawa perjanjian akan dicapai.

“Ia sudah pasti bahawa kami akan membentuk kerajaan campuran, dengan sekurang-kurangnya 251 kerusi dan lebih.

“Kita akan melihat Prayuth Chan-o-cha sebagai perdana menteri pada bulan hadapan,” katanya.

Dalam pilihan raya pada Mac lalu, parti pembangkang, Pheu Thai telah memenangi kerusi paling banyak daripada 500 kerusi di dalam Dewan Rakyat, namun gabungan Barisan Demokratiknya gagal meraih majoriti apabila keputusan rasmi diumumkan.

Pheu Thai turut berikrar untuk menggunakan lunas undang-undang yang sedia ada bagi mencabar keputusan pilihan raya.

Mereka mendakwa bahawa sebahagian daripada formula pengiraan undi yang rumit itu digunakan oleh pihak tertentu sebagai “penyalahgunaan undang-undang secara sengaja dan bercanggah dengan perlembagaan.”

Kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya dalam melakukan pengiraan undian dipersoalkan kerana pertubuhan itu dilantik oleh tentera.

Tindakan mereka menangguhkan pengumuman keputusan sebelum ini disifatkan sebagai taktik untuk memanipulasi pengiraan undi bagi memastikan ia berpihak kepada tentera.

Namun, ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Somchai Sawaengkan menafikan tuduhan bahawa kiraan undi telah dimanipulasi.

“Kami melakukan segala-galanya mengikut undang-undang,” ujarnya,

Sumber: Reuters

Show More

Related Articles

Back to top button