Isu SemasaTempatan

Najib Terkejut RM42 Juta Masuk Akaun Peribadinya

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat terkejut sebaik dimaklumkan terdapat dana kerajaan telah masuk ke akaun peribadinya.

Perkara itu dimaklumkan saksi pendakwa ke-37, Shamsul Anwar Sulaiman yang juga Pengarah Urusan Ihsan Perdana dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Shamsul Anwar berkata, beliau telah bertemu Najib setelah dibebaskan daripada soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015 dan telah memaklumkan kepada bekas Perdana Menteri itu terdapat dana dari SRC International telah masuk ke akaun peribadinya ketika itu.

“Dia sangat terkejut selepas mendapati seseorang memasukkan wang ke akaunnya, dia tidak tahu siapa yang lakukan itu dan kenapa ia dilakukan menerusi syarikat saya (Ihsan Perdana),” katanya kepada peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika pemeriksaan balas hari ini.

Menurut Shamsul, sekalipun menunjukkan reaksi terkejut, namun Najib tidak pula meminta pihaknya membuat sebarang laporan dengan pihak berkuasa.

Terdahulu Shamsul yang memberi keterangan pada sesi perbicaraan yang telah masuk hari ke-20 itu turut memaklumkan kepada mahkamah ketika beliau ditahan reman oleh SPRM, pihaknya telah disoal berhubung dakwaan pemindahan wang Ihsan Perdana.

Katanya, SPRM mahu beliau mengakui berhubung wang RM42 juta yang dipindahkan daripada akaun Ihsan Perdana ke akaun peribadi Najib.

SPRM dalam masa yang sama turut mengingatkan beliau bahawa pihaknya adalah prospek yang didakwa terlibat bersubahat atas kesalahan pecah amanah.

Pada 2015, Shamsul pernah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Dr Shamsul semalam memberi keterangan bahawa beliau telah diarahkan untuk membenarkan akaun IPSB digunakan sebagai transit oleh pengarah projek Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YAR1M) Dennis See.

Shamsul telah mendedahkan bahawa See adalah orang yang memintanya untuk menghantar wang kepada akaun Najib tetapi pada masa itu dia tidak tahu siapa benefisiari itu.

Kemudian, semasa pemeriksaan semula, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bertanya sama ada Dr Shamsul ada mencadangkan untuk membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM. Namun Shamsul berkata tidak.

Sementara pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu pula, Najib didakwa di atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC.

Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button