Isu SemasaTempatan

Tinggallah Iman Sendiri Setelah Pemergian Tam…

Tam semasa mendapatkan rawatan. Sumber Imej : FMT

Melihat gambar Tam yang dipaparkan di dada akhbar pada 19 Mei yang lalu sungguh menyayat hati.

Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan pada ketika itu berdepan masalah kesihatan yang serius dengan rawatan suntikan cecair yang mengandungi ubat anti bakteria dan corticosteroid untuk membantu mengurangkan keradangan dan kesakitan diberikan kepadanya.

Tam yang dianggarkan berusia lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak sejak April lalu diberikan rawatan perubatan dan perhatian 24 jam tetapi kini dia sudah tiada lagi.

 

Punca Kematian Tam Akan Dibedah Siasat

Menurut Datuk Dr Junaidi Payne, Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) kepada Astro AWANI, Tam menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Isnin akibat kerosakan buah pinggang dan hati.

“Bedah siasat ke atas Tam akan dijalankan tidak lama lagi. (Buat masa sekarang) kerosakan buah pinggang dan hati tekaan (punca kematian Tam) terbaik kami,” katanya menerusi mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Sumber Imej : malaysiakini

Tam atau nama panjangnya Kertam ditangkap di Ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu pada Ogos 2008.

Hidupan liar yang diancam kepupusan itu kemudian dibawa ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu yang menjadi habitatnya sehingga saat kematiannya.

Ketika ditangkap, Tam dianggarkan berumur pertengahan 20-an, sebuah usia fasa umur tua bagi seekor badak sumbu Sumatra.

 

Berakhirnya Badak Sumbu Sumatra Di Malaysia?

Usaha Malaysia untuk membiakkan badak sumbu Sumatra ini lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim dan apabila Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

Puntung kemudian dimatikan pada tahun 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialaminya.

Menurut Datuk Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah penyakit dihidapi hidupan liar itu adalah kesan daripada terlalu sedikit badak dan kegagalan pembiakan ketika akhir dekad abad ke-21.

 

Pelbagai Usaha Untuk Diselamatkan Tetapi Sudah Terlambat?

Sejak tahun 2011, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini termasuk secara in vitro dan kerjasama dengan Indonesia.

Kematian Tam ini juga telah menamatkan usaha Malaysia untuk mengembang biakkan badak sumbu Sumatra ini dan ia sangat menyedihkan.

Kini Malaysia hanya memiliki seekor badak sumbu Sumatera betina terakhir yang dikenali sebagai Iman yang diselamatkan di kawasan Danum Valley pada tahun 2014.

Iman yang ditempatkan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu. Sumber Imej : HarianMetro

Bagi Dr Junaidi, “Kerajaan Malaysia, Sabah dan Borneo Rhino Alliance telah menjaga Tam dan badak-badak lain sejak 10 tahun lalu dengan harapan satu program akan diwujudkan untuk semua badak Sumatera di dunia dapat menyumbang telur-telur atau sperma bagi meningkatkan populasi sama ada pembiakan semula jadi ataupun teknologi reproduktif terkini.

“Malangnya, itu tidak berlaku tetapi saya tidak mahu menyalahkan orang atau organisasi yang terlibat.”

Spesies badak Sumatera kini semakin terancam dan dianggarkan sebanyak 50 atau 60 ekor sahaja yang masih wujud di dunia.

 

Sumber Imej: libur.com.my
Show More

Related Articles

Back to top button