AntarabangsaIsu Semasa

Afghanistan: Jumlah Serangan Ke Atas Sekolah Meningkat Tiga Kali Ganda

Laporan terbaru Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan bahawa jumlah serangan ke atas sekolah-sekolah di Afghanistan yang dilancarkan oleh militan telah meningkat sebanyak tiga kali ganda dari tahun 2017 sehingga 2018.

Taliban dan kumpulan-kumpulan pelampau lain dilaporkan terus melancarkan operasi keganasan mereka terhadap ‘sasaran yang lebih lembut’, jauh dari medan pertempuran.

Menurut UNICEF, jumlah serangan meningkat kepada 192 daripada 68. Jumlah pelajar yang tidak pergi ke sekolah turut meningkat pada tahun lalu buat pertama kali sejak 2002.

Ini merupakan petanda bahawa keadaan keselamatan di seluruh Afghanistan semakin bertambah buruk.

Bagi sesetengah penduduk Afghan, laporan UNICEF itu merupakan bukti kukuh bahawa rejim Taliban kini sedang bangkit semula, walaupun Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk mengadakan rundingan damai dengan kumpulan tersebut.

Jurucakap Kementerian Pendidikan Afghanistan, Nooria Nazhat menyatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai statistik terperinci untuk menyokong laporan UNICEF itu, tetapi beliau turut berkata:

“Setiap minggu, kita mempunyai laporan tentang sekolah-sekolah diserang di Afghanistan.”

Jelas beliau, sebanyak 431 buah sekolah bagi kedua-dua lelaki dan perempuan telah ditutup kerana “isu keselamatan”, dan kerajaan sedang berusaha untuk membukanya semula.

Dalam pada itu, laporan UNICEF turut mendedahkan penggunaan sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi ketika Pilihan Raya Parlimen Afghanistan 2018 merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes serangan.

“Serangan yang tidak masuk akal ke atas sekolah; membunuh, mencederakan, dan menculik guru-guru; dan ancaman terhadap pendidikan memusnahkan harapan dan impian seluruh generasi kanak-kanak,” tegas Henrietta Fore, Pengarah Eksekutif UNICEF dalam satu kenyataan.

Difahamkan juga, lebih daripada satu juta kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah, dan kebanyakannya adalah pelajar perempuan.

Di seluruh Afghanistan, terdapat kira-kira 17,500 buah sekolah, tetapi sebanyak 1,000 daripada jumlah itu kekal ditutup kerana konflik yang berterusan ini.

Sebelum ini juga, Taliban didakwa tidak membenarkan pelajar perempuan untuk pergi ke sekolah, dan wanita-wanita dewasa pula tidak boleh keluar dari rumah melainkan jika ditemani oleh mana-mana saudara lelaki.

Sumber: NY Times – Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker