AntarabangsaIsu Semasa

Iraq Tawar Diri Jadi Orang Tengah Dalam Krisis AS-Iran

Iraq telah menawarkan diri untuk menjadi “orang tengah” atau mediator dalam usaha menyelesaikan krisis di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah.

Menteri Luar Iraq, Mohammed Al-Hakim memberi tawaran itu pada Ahad, 26 Mei 2019 pada sebuah sidang akhbar gabungan di Baghdad bersama rakan sejawatannya dari Iran, Mohammad Javad Zarif.

“Kita sedang cuba untuk membantu dan menjadi mediator,” kata Al-Hakim.

Jelas beliau, Baghdad juga akan berusaha untuk mencapai “penyelesaian yang memuaskan”, sambil menegaskan bahawa Iraq membantah langkah-langkah unilateral (satu pihak sahaja) yang diambil oleh Washington.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketegangan di antara AS dan Iran bertambah buruk apabila AS menghantar jentera-jentera perangnya, termasuk kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 untuk menangani ‘ancaman’ daripada Iran yang masih tidak dijelaskan secara terperinci.

Difahamkan, krisis ini bermula apabila Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 di antaranya dengan Iran pada tahun lepas.

Kemudian, AS mengenakan semula sekatan ke atas Iran sekali gus menyebabkan ekonominya terjejas teruk.

Pada pandangan Trump, perjanjian itu telah gagal untuk mematahkan keupayaan Iran untuk membangunkan senjata nuklear atau menghentikan sokongannya terhadap kumpulan militia di seluruh Timur Tengah yang dikatakan “menggugat kestabilan” rantau itu.

Bagi membalas kenyataan Trump tersebut, Zarif menegaskan bahawa Iran tidak melanggar perjanjian nuklear itu dan beliau turut menggesa negara-negara Eropah untuk meningkatkan usaha demi memastikan perjanjian berkenaan diteruskan walaupun dengan pengunduran AS.

Bercakap tentang ketegangan yang meningkat dengan AS, Zarif berkata bahawa Iran akan mampu “menghadapi peperangan itu, sama ada dari segi ekonomi atau ketenteraan menerusi kecekalan serta pasukan tenteranya.”

Beliau turut menggesa untuk mewujudkan perjanjian tanpa provokasi bersama negara-negara Arab di Teluk.

Sementara itu, tawaran menjadi mediator yang dikemukakan oleh Al-Hakim juga disokong oleh Speaker Parlimen Iraq, Mohamad Al-Halbousi.

Al-Hakim turut meluahkan kebimbangannya terhadap ekonomi Iran yang tidak menentu.

Sumber: Arab News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker