AntarabangsaIsu Semasa

“Militan Paling Dikehendaki” Di India Ditembak Mati

Pasukan keselamatan di Kashmir bahagian India dilaporkan telah berjaya membunuh komander militan yang berkaitan kumpulan Al-Qaeda, Zakir Musa.

Musa yang merupakan ketua puak militan yang dikenali sebagai Ansar Ghazwat-ul Hind (AGuH) dikatakan telah menggunakan propaganda untuk menubuhkan ‘khalifah’ di kedua-dua Kashmir dan India.

Difahamkan, dia telah ditembak mati selepas dikepung oleh pasukan keselamatan di dalam sebuah rumah di kawasan perkampungan di Tral, daerah Pulwama pada petang Khamis.

Pegawai keselamatan menyifatkan Musa sebagai “militan yang paling dikehendaki” India dan media tempatan turut melaporkan bahawa kematiannya adalah “kejayaan terbesar” bagi pasukan keselamatan sejak pembunuhan seorang lagi ketua militan, Burhan Wani.

Wani dikatakan sebagai seorang militan yang ‘popular’ dalam kalangan belia di wilayah bergolak tersebut.

“(Kami) dengan yakin sedang bergerak ke arah Kashmir yang bebas daripada terorisme. Kepimpinan pengganas disasarkan dengan jayanya di Tral.

“Zakir Bhat Musa, ketua AGuH telah ‘dineutralisasikan’,” kata Chinar Corps daripada Angkatan Tentera India dalam satu kenyataan di Twitter.

Musa yang berusia 25 tahun merupakan bekas pelajar kejuruteraan, dan dia dipercayai mula menyertai kumpulan militan pada tahun 2013.

Dia juga ialah rakan rapat Wani, di mana pembunuhan Wani telah mencetuskan insiden keganasan yang menyebabkan lebih daripada 100 orang awam terkorban.

Sebelum mengetuai AGuH, Musa merupakan seorang anggota dalam kumpulan Hizbul Mujahideen.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini juga, tentera India dilaporkan telah berjaya menghapuskan seramai 16 anggota militan.

Pihak berkuasa tempatan pada Jumaat telah mengarahkan penutupan semua institusi pendidikan dan menggantung perkhidmatan Internet di wilayah itu dalam usaha mengelak daripada tercetusnya sebarang bentuk keganasan.

Wilayah Kashmir yang dipertikaikan terbahagi kepada dua bahagian – satu ditadbir oleh India manakala satu bahagian lagi berada di bawah pentadbiran Pakistan.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button