AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Tidak Mahu Berperang Dengan Iran, Tetapi…

Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir dalam satu kenyataan beberapa hari lalu menegaskan bahawa Arab Saudi tidak mahu berperang dengan Iran, tetapi akan bertindak balas dengan “kekuatan dan semangat” jika Iran memulakannya.

“Kita tidak mahu berperang dalam apa cara sekali pun, tetapi pada masa yang sama, kita tidak akan membenarkan Iran untuk meneruskan dasar-dasar yang bermusuhan terhadap Arab Saudi.

“Kami mahukan keamanan dan kestabilan,” katanya.

Pada masa yang sama, komander pasukan elit Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Hossein Salami turut berkata bahawa negaranya tidak mencari peperangan, tetapi juga “tidak takut kepada konfrontasi.”

Beliau berkata, insiden-insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini telah menunjukkan “kekuatan musuh secara jelas.”

Difahamkan, ketegangan di Teluk telah meningkat secara drastik sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas Amerika Syarikat (AS) menghantar jentera-jentera perangnya, termasuk kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 di perairan rantau itu.

Pada 13 Mei baru-baru ini pula, beberapa kapal, termasuk dua buah milik Arab Saudi, telah disabotaj di perairan Emeriah Arab Bersatu (UAE) ketika sedang dalam perjalanan ke Selat Hormuz.

Berikutan itu, Al-Jubeir menyenaraikan beberapa siri serangan pengganas yang berlaku sejak beberapa dekad lalu, di mana beliau berkata bahawa Iran memainkan peranan dalam serangan-serangan tersebut.

“Kerajaan Iran tidak mahukan kestabilan atau keselamatan di rantau ini,” katanya sambil menambah bahawa pemberontak Houthi di Yaman, yang disokong oleh Iran, telah melancarkan lebih daripada 200 peluru berpandu ke atas Arab Saudi beberapa tahun kebelakangan ini.

Ujar beliau lagi, Houthi juga merupakan dalang disebalik serangan dron ke atas fasiliti minyak Arab Saudi, sambil mendakwa Iran sebagai pembekal dron itu.

UAE dan negara-negara lain dilaporkan masih sedang menyiasat serangan berkenaan.

“Kita tidak akan berdiri dengan tangan yang terikat. Keputusan terletak di tangan Iran dan Iran perlu menentukan hala tujunya.

“Kita mempunyai beberapa petunjuk dan kami akan mengumumkannya selepas siasatan selesai,” kata Al-Jubeir.

Sementara itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz meminta anggota-anggota Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) dan negara-negara Arab untuk mengadakan mesyuarat kecemasan pada 30 Mei ini bagi membincangkan serangan-serangan terbaru yang berlaku.

Menurut Kementerian Luar, serangan tersebut boleh mendatangkan implikasi serius terhadap bekalan minyak dan kestabilan pasaran minyak global, selain daripada berpotensi menjejaskan keselamatan global dan serantau.

Sumber: Bloomberg, Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button