Isu SemasaTempatan

Ancaman Pengganas Masih Tiada Penghujung

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam melindungi negara daripada pelbagai ancaman, dan salah satu yang utama adalah pengganas.

Kes terbaru menyaksikan Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman (E8) menggagalkan plot serangan yang dirancang oleh ‘wolf pack’ pengganas IS yang terdiri daripada 7 orang anggota.

Mereka merancang untuk melancarkan serangan keganasan yang menyasarkan empat orang VIP serta rumah ibadat bukan-Islam di sekitar Lembah Klang, di mana mereka turut dilengkapi dengan 6 buah alat letupan reka ganti (IED) sepanjang 18 cm.

Walau bagaimanapun, kesemua suspek berjaya ditahan pada minggu lepas menerusi beberapa operasi, dan mereka dikatakan “amat hampir” untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Difahamkan, unit Counter-Terrorism E8 merupakan yang paling efektif di Asia Tenggara.

Pegawai-pegawai unit tersebut adalah yang terbaik daripada yang terbaik dalam melaksanakan tugas perisikan mereka.

Mereka telah dilatih untuk memantau media sosial, aplikasi mesej, serta perbualan atas talian untuk mengenal pasti dan membuang elemen-elemen ekstremis.

Sebelum ini juga, unit E8 telah berkali-kali berjaya menggagalkan ancaman pengganas daripada pelbagai kumpulan trmasuk IS, Al-Qaeda, dan Jemaah Islamiyah (JI).

Walaupun mempunyai rekod kejayaan yang cemerlang dalam membendung serangan pengganas, tangkapan suspek-suspek ‘wolf pack’ baru-baru ini adalah bukti bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu menjadi lebih berjaga-jaga dan pihak polis pula harus meneruskan usaha mereka.

Ketua Polis Negara (IGP), Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan pada minggu lepas berkata, sekiranya pengganas berjaya melancarkan serangan tersebut, pasti buruk akibatnya.

Suspek-suspek pengganas mempunyai 6 buah IED yang dipercayai diseludup dari negara jiran, dan ia mampu mengorbankan ribuan nyawa jika rancangan mereka berjaya dilaksanakan.

Walaupun IS telah ditewaskan di kubu kuat mereka di Syria dan Iraq, sel-sel pengganas itu dipercayai telah ditubuhkan di negara-negara lain dengan Filipina, Indonesia dan Malaysia menjadi sasaran utama mereka.

Dalam pada itu, IGP turut berkata bahawa wolf pack itu juga merancang untuk ‘membalas dendam’ terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim yang terkorban┬áselepas cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 26 November yang lalu.

Perkara ini ternyata membimbangkan kerana IS dilihat mengambil kesempatan ke atas isu tempatan dan menjadikannya sebagai ‘modal’ mereka untuk melancarkan serangan dan menghasut orang lain untuk menyokong mereka.

Tambahan pula, semakin ramai anggota militan yang berjuang bersama IS di Syria juga kini mahu pulang ke negara asal.

Mereka ini, yang dilengkapi dengan latihan ketenteraan, menjadi ancaman yang besar terhadap keamanan dan keharmonian negara.

Tetapi mereka bukan hanya rakyat Malaysia sahaja. Tangkapan wolf pack tersebut membabitkan suspek warga tempatan, Indonesia, dan juga Rohingya.

Dalam satu kes pada bulan Mac pula, enam orang warga Mesir dan seorang rakyat Tunisia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Untuk menangani ancaman pengganas dengan lebih berkesan, kolumnis The Star, Brian Martin menerusi penulisannya berjudul “Tackling the terror threat” berpandangan bahawa Jabatan Imigresen perlu lebih berwaspada terhadap warga asing dari negara-negara yang mempunyai rekod melindungi pengganas atau mempunyai kaitan dengan sel pengganas, dan memastikan mereka tidak memasuki Malaysia.

Individu-individu tersebut perlu menjalani pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat.

Pihak berwajib juga harus berusaha lebih keras dalam mencegah indoktrinasi ideologi pengganas dalam kalangan golongan muda, lebih-lebih lagi pada era media sosial ini yang menyaksikan penyebaran maklumat tanpa batasan.

Lebih membimbangkan lagi, kajian daripada Merdeka Centre pada November lepas mendapati bahawa 18% responden di Malaysia menyokong tindakan-tindakan kumpulan pengganas termasuk JI, yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Selain itu, isu-isu pendidikan dan program sosial, pemerkasaan ekonomi, peluang pekerjaan, dan pembiayaan mikro juga perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan yang stabil dan tidak mudah terpedaya dengan hasutan pengganas yang sering menggunakan alasan ‘penindasan’ untuk memperdayakan ‘calon potensi’ mereka.

Sumber rujukan: The Star – Tackling the terror Threat

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker