Sukan

Perginya Tokoh Berwibawa Yang Membawa Bola Sepak Tempatan Melalui Satu Evolusi Pesat

Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah banyak meninggalkan kenangan buat bola sepak tanah air.

Presiden FAM Paling Lama Berkhidmat

Baginda yang merupakan Presiden FAM paling lama berkhidmat, menggantikan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984 sehinggalah pada tahun 2014 telah menonjolkan kepimpinan dan ketokohan yang disanjung apabila turut dilantik mengetuai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) semasa menjadi Presiden FAM.

Sejak mula menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Ogos 1984, baginda tidak pernah jemu membangunkan sukan bola sepak, meskipun semasa skuad bola sepak negara menerima pelbagai kritikan.

Sentiasa Optimis Dengan Skuad Harimau Malaya

Sebagai individu nombor satu di FAM, Almarhum sentiasa optimis terhadap skuad Harimau Malaya agar dapat kembali ‘mengasah taring’ di persada antarabangsa walaupun perit untuk menerima kedudukan tangga ke-159 pada ranking bola sepak dunia pada tahun 2013.

Almarhum teguh berdiri di belakang skuad bola sepak negara dan menasihatkan rakyat untuk tidak berputus asa, sementara pihak berkepentingan pula diingatkan untuk mencari formula bagi memastikan ranking itu tidak terus mengalami kemerosotan mendadak.

Walau bagaimanapun pada 2014, Almarhum memberi laluan kepada anakanda Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengambil alih jawatan Presiden FAM.

Kejayaan Terbesar Memimpin AFC

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang menerajui Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 13 Mei 1994 hingga 10 Mac 2002 adalah antara tokoh yang menuntut penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002, susulan krisis pada 1999 apabila delegasi AFC memulaukan mesyuarat Kongres FIFA di Los Angeles.

Kejayaan terbesar Almarhum ketika memimpin AFC, sudah tentunya ketika Asia menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA di Jepun dan Korea Selatan pada 2002 yang menjadi sejarah kerana buat julung kalinya penganjuran kejohanan bola sepak nombor satu itu dilakukan secara bersama oleh dua negara.

Malah, sepanjang tempoh berkhidmat, baginda sering memperjuangkan hak pasukan dari benua Asia dalam mendapatkan slot tambahan di Piala Dunia dan memajukan bola sepak di negara membangun.

Merupakan Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) hingga 2019.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dari 2011 hingga 2019, dengan kejayaan menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai aset terbesar persekutuan itu.

Almarhum tidak dicalonkan semula pada Kongres AFF di Siem Reap Mac lalu disebabkan kesihatan Baginda yang tidak mengizinkan.

Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai pengiktirafan diterima oleh Almarhum sepanjang berkhidmat untuk AFF.

Antaranya ialah sebagai mengiktiraf sumbangan baginda yang mengangkat martabat sukan itu ke tahap yang lebih tinggi, Sultan Ahmad Shah menerima Anugerah Muhibbah ASEAN yang julung kalinya diadakan pada 4 April 2013.

Sikap kemanusiaan dan dermawan almarhum juga ‘disatukan’ dalam sukan itu dengan penubuhan Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN untuk mengumpul dana berjumlah AS$100,000 kepada mangsa bencana taufan Bopha yang melanda pulau-pulau Mindanao di Filipina, pada 2012.

Pengiktirafan demi pengiktirafan antarabangsa diterima baginda termasuk Aungerah Berlian AFC pada 23 Nov 2011, yang diberikan kepada individu yang memberikan sumbangan ke arah pembangunan dan promosi bola sepak di benua Asia.

Penglibatan baginda turut mendapat perhatian FIFA, apabila menerima anugerah berprestij FIFA – ‘Order of Merit’ – pada hari pembukaan Kongres ke-62 badan bola sepak antarabangsa itu di Budapest, Hungary pada 2012 lapor AstroAwani.

Presiden FAM Terkini Zahirkan Kesedihan di Media Sosial

FAM yang kini diterajui Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Almarhum yang banyak mengubah dan melakukan revolusi kepada perkembangan bola sepak tanahair.

“Di bawah teraju Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat, bermula dengan liga semi-pro yang diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

“Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta kemenangan Piala Suzuki AFF pada 2010.

“Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997,” katanya menerusi satu kenyataan media di laman Facebook badan induk itu pada hari yang sama pemergian Almarhum Sultan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button