AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Timor-Leste Masih Belum Menjadi Negara Anggota Asean?

Timor-Leste merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih belum menjadi anggota Asean.

Blok Asean kini terdiri daripada gabungan 10 negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Myanmar, Vietnam, Kemboja, dan Laos.

Asean secara keseluruhan mempunyai 640 juta penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$2.67 trilion (RM11.5 trilion), di mana ia juga adalah ekonomi kelima terbesar di dunia.

Tetapi, mengapakah Timor-Leste masih belum menyertai Asean? Hal ini adalah kerana ia masih dianggap ‘tidak mempunyai kapasiti’ untuk menjadi negara anggota blok itu.

Namun, keadaan kini berubah dan sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan keahlian Timor-Leste di dalam Asean.

Tidak dinafikan bahawa negara kecil yang mempunyai populasi penduduk seramai 1.3 juta orang itu mempunyai sejarah silam yang tidak menentu, termasuk dijajah oleh Portugis lebih daripada 400 tahun, berada di bawah taklukan Indonesia selama 24 tahun, dan baru mencapai kemerdekaan pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, Timor-Leste mencatatkan prestasi yang agak cemerlang bagi sebuah negara demokrasi yang masih baru.

Kedudukannya dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) juga adalah lebih tinggi berbanding beberapa negara Asean seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.

Bukan itu sahaja, malah pertumbuhan ekonominya mencatatkan 6% pada tahun lepas, sangat hampir untuk mencecah kadar pertumbuhan 7% di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Selain itu, penglibatan Timor-Leste dalam Community of Portuguese Speaking Countries (CPLP), iaitu sebuah forum multilateral sembilan anggota yang meliputi 268 juta populasi dengan KDNK bernilai AS$2.1 trilion (RM8.75 trilion) turut membuktikan bahawa negara itu sudah layak untuk menjadi sebahagian daripada Asean.

Matlamat untuk menjadi negara anggota Asean telah menjadi tunjang utama dalam dasar luar Timor-Leste sejak memperoleh kemerdekaan pada tahun 2002 berikutan potensi manfaat ekonominya serta risiko keselamatan serantaunya yang semakin menurun.

Keanggotaan Timor-Leste dalam Asean akan juga akan memberi akses kepadanya untuk menerima dana bagi pembangunan negara menerusi pelbagai program seperti Initiative for Asean Integration (IAI), yang dilancarkan pada tahun 2000 untuk merapatkan jurang kemajuan di antara negara-negara anggota.

Program tersebut telah memberi manfaat besar kepada Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Difahamkan, antara bidang yang diberi keutamaan di bawah rangka kerja IAI termasuk:

1. Infrastruktur

2. Pembangunan sumber manusia

3. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

4. Kerjasama ekonomi serantau

5. Pelancongan

6. Penghapusan kemiskinan dan penambahbaikan kualiti kehidupan

Pada tahun 2005 pula, Timor-Leste telah menyertai Forum Serantau Asean (ARF) dan memeterai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC) dua tahun kemudian.

Pada tahun 2011 pula, negara itu menghantar permohonan secara rasmi yang pertama untuk menjadi anggota negara Asean.

Difahamkan, cadangan asal adalah untuk menjadikan Timor-Leste sebagai anggota penuh Asean menjelang 2015 dan kajian kebolehlaksanaan turut dilakukan ke arah merealisasikan rancangan itu.

Pada 2013, Setiausaha Agung Asean ketika itu,Le Luong Minh memberi tanggapan bahawa semua anggota negara bersetuju dengan permohonan Timor-Leste.

Namun, permohonan itu kemudian ditangguhkan kerana terdapat sesetengah pihak yang meminta supaya Timor-Leste membangunkan kapasitinya terlebih dahulu untuk agar ia mampu memenuhi komitmen dan menyumbang sepenuhnya kepada Asean.

Beberapa negara, terutamanya Singapura, berpandangan bahawa kemasukan Timor-Leste ke dalam blok itu akan membawa kepada kekangan kewangan memandangkan negara itu masih lagi baru, dan setiap anggota perlu menyumbang ke arah kemajuan Asean..

Namun, mereka tidak mengambil kira dan mungkin terlepas pandang potensi sumbangan Timor-Leste menerusi dana kekayaan berdaulatnya daripada minyak dan gas, yang dianggarkan mencecah AS$20 bilion (RM83.3 bilion) menjelang 10 tahun akan datang.

Harapan kemasukan Timor-Leste ke dalam Asean dibangkitkan semula pada tahun 2017 di sidang kemuncak Asean ke-31.

Namun pada penghujung sidang kemuncak tersebut, Pengerusi Asean ketika itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte ‘memusnahkan’ harapan itu dengan berkata bahawa permohonan Timor-Leste masih sedang “dikaji.”

Seperti yang tertakluk di bawah Fasal 6 Piagam Asean, terdapat tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh sesebuah negara untuk menjadi anggota:

1. Negara tersebut perlu terletak di Asia Tenggara

2. Keputusan untuk menjadi anggota perlu dipersetujui sebulat suara oleh semua negara anggota

3. Negara tersebut perlu mampu memenuhi komitmen dan kewajipan terhadap Asean

Timor-Leste dilaporkan telah memenuhi kebanyakan kriteria, termasuk membuka kedutaannya di semua negara Asean.

Dalam pada itu, Asean juga tidak boleh dilihat sebagai sebuah blok yang memilih sesebuah negara berdasarkan manfaat yang boleh diperoleh daripada Timor-Leste semata-mata.

Walaupun jurang Timor-Leste dengan negara-negara yang lebih kaya adalah ketara, Asean perlu menunjukkan sikap yang lebih mesra terhadap negara yang secara jelas layak untuk menjadi anggota memandangkan blok itu menyokong prinsip keadilan dan kesamarataan.

Sementara itu, Malaysia merupakan sebuah negara yang secara ikhlas menyokong kemasukan Timor-Leste memandangkan ia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih berada di luar blok itu.

Ketika tempoh awal kemerdekaan Timor-Leste, Malaysia telah memberi pelbagai bantuan dari aspek keselamatan, pembangunan sumber manusia, dan kapasiti institusi.

Timor-Leste juga melihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan global dan serantau, dan mempercayai bahawa sokongan beliau akan membantunya menjadi anggota Asean.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button