AntarabangsaIsu Semasa

AS Beri Turki Dua Minggu Untuk Batalkan Pembelian S-400 Rusia

Turki dilaporkan diberi tempoh dua minggu oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menentukan sama ada akan meneruskan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu canggih buatan Rusia, S-400 atau berdepan risiko dikenakan penalti/sekatan.

Jika tidak mahu dikenakan penalti, Turki perlu membatalkan perjanjian urusniaga yang bernilai berbilion dolar dengan Rusia itu dan sebaliknya diminta untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan AS.

Memetik laporan CNBC, sekiranya gagal mematuhi arahan ini, AS akan:

1. Membuang Turki daripada program F-35

2. Membatalkan penghantaran 100 buah F-35 kepada Turki seperti yang dijanjikan

3. Mengenakan sekatan ekonomi ke atasnya

Bukan itu sahaja, malah hubungan Turki dengan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga berpotensi untuk terjejas.

Antara sebab utama AS melarang pembelian S-400 Rusia adalah kerana tindakan mengintegrasikan sistem seperti ini ke dalam tentera Turki, yang merupakan kedua terbesar dalam NATO akan membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting tentang keupayaan jet pejuang halimunan F-35.

Difahamkan, Turki terlibat secara langsung dalam proses pembinaan pesawat tempur generasi kelima itu.

Walau bagaimanapun, Ankara dilihat terus kekal teguh dengan pendiriannya dan difahamkan, Menteri Pertahanan, Hulusi Akar berkata bahawa kakitangan tentera negara itu sedang menjalani latihan di Rusia bagi penggunaan S-400 itu.

“Kami telah menghantar kakitangan ke Rusia untuk latihan (penggunaan) S-400 yang akan bermula dalam beberapa hari yang akan datang dan akan berterusan selama beberapa bulan berikutnya.

“Kita perlu menubuhkan sistem pertahanan udara untuk melindungi 82 juta rakyat dan negara kami,” kata Akar sambil menambah bahawa Turki sedang berdepan ancaman serangan udara dan peluru berpandu dari sempadan Syria.

Tegas beliau, sistem S-400 hanya mempunyai keupayaan pertahanan, dan “tiada siapa yang perlu rasa terganggu” jika Turki menggunakannya.

Jelas Akar, negaranya juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi sekatan yang mungkin akan dikenakan oleh AS.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus turut memberi amaran bahawa akan berlaku “akibat yang sebenar dan negatif” sekiranya Turki meneruskan juga pembelian S-400.

Sumber: Middle East Monitor

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button