Isu SemasaTempatan

Sistem Kuota Matrikulasi: Perlukah Dr Maszlee Tunduk?

Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai sistem kuota matrikulasi terus menerima pelbagai reaksi hangat.

Bagaimanapun, seorang menteri lain menyokongnya dengan mengatakan kuota itu adalah selaras dengan keputusan Kabinet untuk mengekalkan pengambilan pelajar pada nisbah 90:10 bagi pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata Kabinet juga bersetuju bahawa dengan mengekalkan kuota ini, keutamaan akan diberikan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) yang termasuk pelajar bukan bumiputera.

“Dr. Maszlee hanya membela keputusan Kabinet, yang sesuai dengan visi asal program matrikulasi untuk menggalakkan pelajar bumiputera meneruskan pengajian mereka dalam bidang sains,” katanya.

Di bawah program matrikulasi 2019, Kementerian Pendidikan berkata 60% tempat telah diperuntukkan kepada pelajar dari kumpulan B40.

Dilaporkan bahawa naib canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail mempertahankan Maszlee, berkata Menteri Pendidikan patut dipuji kerana “pendidikan dan peluang pekerjaan berkait rapat antara satu sama lain”.

Maszlee menerima kritikan hebat berkenaan kenyataannya yang menghubungkan sistem kuota matrikulasi dengan peluang pekerjaan yang tidak sama rata bagi bumiputera di sektor swasta.

Kritikan mengenai sistem kuota bermula selepas 19 April apabila Kementerian Pendidikan berkata kuota 90% bumiputera dan 10% bukan bumiputera untuk matrikulasi, yang dilakukan berdasarkan meritokrasi, akan dikekalkan pada tahun ini.

Maszlee juga berkata Kabinet membenarkan bilangan pelajar yang memasuki program matrikulasi untuk ditingkatkan kepada 40,000 daripada 25,000 sebelumnya, walaupun kuota 90% untuk kaum bumiputera akan kekal.

Keputusan ini menimbulkan  rasa kecewa daripada orang ramai dan ramai yang meminta kementerian untuk menghapuskan sistem kuota matrikulasi.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Maszlee tidak sepatutnya menggunakan contoh “keperluan penguasaan bahasa Mandarin ketika memohon pekerjaan” kerana ini adalah keperluan sesuatu kerja dan tidak berkaitan dengan etnik pemohon.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA, Ng Sing Phing meminta Maszlee menjelaskan bagaimana pemegang STPM tidak terjejas berikutan peningkatan pengambilan pelajar matrikulasi di universiti awam.

“Kami menggesa Menteri Pendidikan untuk memberikan jawapan kerana semua dasar pendidikan mempunyai kesan yang besar terhadap usaha negara dalam pembangunan sumber manusia,” kata Ng dalam satu kenyataan Selasa lalu.

Kementerian Pendidikan menjelaskan dan memberi jaminan bahawa pengambilan tambahan sebanyak 15,000 untuk program matrikulasi tidak akan mempengaruhi proses pemilihan untuk masuk ke universiti tempatan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker