AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Jokowi Menang, Tetapi Prabowo Enggan Mengaku Kalah

Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dilaporkan tetap enggan mengaku kalah walaupun keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) menunjukkan bahawa beliau tewas kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dalam pilihan raya presiden pada bulan lepas.

Tidak berpuas hati dengan perkara ini, Prabowo menegaskan beliau akan mencabar keputusan ini di Mahkamah Perlembagaan sambil mendakwa bahawa berlakunya penipuan dalam pilihan raya tersebut.

Berdasarkan keputusan yang baru diterbitkan awal pagi ini, Jokowi dan calon naib presidennya, Ma’ruf Amin memenangi 55.5% (85,607,362) undian manakala Prabowo serta calon pasangannya pula hanya memperoleh 44.5% (68,650,239).

Ini sekali gus menandakan kekalahan kedua Prabowo menentang Jokowi kerana beliau pernah tewas pada pilihan raya presiden tahun 2014 sebelum ini.

“Kita telah memberi peluang kepada KPU untuk memperbaiki proses (pengiraan undi) supaya ia akan mencerminkan pilihan raya yang jujur dan adil, tetapi KPU tidak mengikuti perkara ini, maka dengan itu, kami pasangan presiden nombor 2, menolak semua pengiraan undi bagi pilihan raya presiden yang diumumkan pada awal pagi 21 Mei.

“Kami merasakan waktu pengumuman itu adalah janggal dan di luar waktu biasa,” katanya.

Difahamkan, Prabowo telah mengisytihar kemenangan beberapa jam selepas undian ditutup pada hari Pilihan Raya pada bulan lalu dan kerap mendakwa berlakunya penipuan.

Malah, kemnya juga menyatakan bahawa mereka telah mengumpul ‘bukti’ untuk menyokong dakwaan-dakwaan tersebut.

Menurut pegawai pasukan kempen Prabowo, Sufmi Dasco juga mengesahkan bahawa bekas jeneral tentera itu akan mencabar keputusan pilihan raya di Mahkamah Perlembagaan.

Prabowo mempunyai tiga hari untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah, sebelum panel pilihan raya akan mengisytihar secara rasmi pemenang.

Perkara ini juga pernah berlaku pada tahun 2014, namun hasrat beliau untuk mencabar keputusan pilihan raya pada waktu itu telah ditolak.

Sementara itu, Jokowi dalam kenyataan pertamanya selepas keputusan rasmi dikeluarkan meluahkan hasrat untuk berjumpa dengan Prabowo dan Sandiaga di atas semangat demokrasi.

“Terdapat rancangan lebih awal sejak 17 April (hari pilihan raya) untuk berjumpa tetapi kami belum melakukannya, mungkin kerana kami tidak mempunyai masa.

“Tetapi apa yang jelas adalah kita akan terus berkawan, mengekalkan hubungan persaudaraan bersama Pak Prabowo, bersama Pak Sandiaga Uno, dan semua penyokong mereka,” ujar Jokowi.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker