AntarabangsaBisnes & EkonomiIsu SemasaTeknologi

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sekatan AS Terhadap Huawei

Syarikat teknologi Amerika Syarikat, Google telah memasukkan syarikat China, Huawei dalam Senarai Entiti sekali gus membuatkan Huawei dalam keadaan terumbang-ambing mengenai perancangan masa depan perkakasan, perisian dan teknikalnya.

1. Apakah Senarai Entiti AS dan mengapa Huawei terlibat?

Senarai Entiti AS yang diterbitkan oleh Jabatan Perdagangan AS, mengandungi senarai entiti asing tertentu termasuk perniagaan, institusi penyelidikan, pemerintah dan individu yang tertakluk kepada keperluan lesen untuk eksport, pengeksportan semula dan pemindahan barang-barang tertentu ke negaranya. Pada dasarnya, senarai itu mewakili senarai syarikat yang AS percaya menimbulkan ancaman nasional kepadanya.

Senarai Entiti mempunyai 270 halaman dan menyenaraikan syarikat dan individu dari pelbagai negara termasuk Rusia, China, Ukraine, Iran dan juga UK.

Huawei Technologies China telah dimasukkan ke dalam senarai Rabu lepas, kerana Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat percaya bahawa “Huawei terlibat dalam aktiviti yang bertentangan dengan keselamatan negara AS atau kepentingan dasar luar”.

Pegawai AS hari ini telah mengeluarkan penangguhan selama 90 hari ke atas larangan berurusan dengan Huawei, mengatakan masa diperlukan untuk mengelakkan gangguan besar.

2. Apa yang berlaku kepada syarikat-syarikat dalam Senarai Entiti?

Syarikat-syarikat dalam Daftar Entiti umumnya dilarang menjalankan perniagaan dengan syarikat-syarikat AS.

Syarikat AS yang ingin mengeksport produk dan perisian kepada entiti dalam senarai mesti memohon lesen dari Biro Industri dan Keselamatan, agensi di bawah Jabatan Perdagangan AS, walaupun dasar semakan lesen biasanya tidak akan diluluskan.

3. Bagaimana ia menjejaskan Huawei?

Huawei bekerja dengan pelbagai pembekal AS untuk produknya, termasuk pembuat cip seperti Intel dan Qualcomm, serta Google untuk sistem operasi Android mereka. Sekatan dalam Daftar Entiti bermakna Huawei akan kehilangan akses kepada produk dan perkhidmatan dari syarikat-syarikat ini.

Sebagai contoh, Google dilaporkan telah menggantung lesen Android Huawei, yang bermaksud bahawa peranti Huawei masa depan mungkin perlu beralih kepada Android sumber terbuka, yang tidak mempunyai aplikasi Google yang popular seperti Gmail, YouTube dan juga aplikasi Google Play.

Huawei bagaimanapun, telah bersedia untuk konflik ini. Syarikat itu dikhabarkan telah menyimpan komponen kritikal AS selama hampir setahun untuk scenario seperti ini.

Huawei juga mula membangunkan cipnya sendiri untuk digunakan dalam produk telefon pintar dan rangkaiannya, yang dianggap sebagai alternatif Intel dan Qualcomm, dan mengesahkan pada Mac bahawa ia telah membangunkan sistem operasi sendiri untuk telefon pintar dan komputer sekiranya alat yang disediakan oleh firma teknologi AS tiada lagi.

4. Saya mempunyai telefon atau tablet Huawei, bagaimana sekatan ini memberi kesan kepada saya?

Pengguna peranti Huawei sedia ada tidak akan terjejas oleh sekatan AS pada Huawei. Larangan ini hanya akan menjejaskan produk Huawei di masa hadapan.

“Google Play dan perlindungan keselamatan dari Google Play Protect akan terus berfungsi pada peranti Huawei yang sedia ada,” kata jurucakap Google pada hari Isnin.

5. Adakah sekatan pada Huawei sama seperti yang dikenakan pada ZTE? Berapa lamakah larangan berjalan?

AS telah memberikan perintah penafian kepada ZTE dan meletakkannya pada Senarai Entiti Yang Ditolak, mengharamkannya daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat atau individu AS secara terang-terangan selama tujuh tahun. Larangan itu kemudian dikeluarkan selepas kira-kira tiga bulan.

Sebaliknya, Senarai Entiti tidak mempunyai tarikh tamat tempoh, dan entiti tersenarai tertakluk kepada keperluan lessen. Ini bermaksud bahawa kerajaan AS boleh memutuskan untuk memberikan kelulusan kepada syarikat yang disenarai untuk bekerja dengan syarikat AS tertentu, berbanding dengan larangan secara langsung .

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, syarikat-syarikat dalam senarai biasanya dijangka tidak akan dapat melakukan perniagaan dengan syarikat AS.

Ia masih belum jelas sama ada Huawei akan dikeluarkan dari Senarai Entiti atau tidak kerana tidak ada tempoh masa tertentu untuk syarikat yang tersenarai dalam Senarai Entiti.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button