AntarabangsaIsu Semasa

Selepas S-400, Turki Akan Bangunkan S-500 Bersama Rusia

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menolak desakan Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Turki menangguhkan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu canggih dari Rusia, S-400.

Jelas Erdogan, terdapat kemungkinan Moscow akan menghantar senjata itu kepada Ankara lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan pada bulan Julai.

“Ia adalah mustahil bagi kami untuk menarik diri dalam isu S-400, ia adalah satu perjanjian yang sudah dilakukan.

“Perjanjian kami adalah untuk menerima S-400 tersebut menjelang Julai; (tetapi) mereka mungkin akan mempercepatkannya,” katanya.

Dalam pada itu, pendirian tegas Turki dalam membeli senjata Rusia ini berpotensi untuk menjejaskan lagi hubungan negara itu bersama negara-negara sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Minggu lepas, AS telah meminta Ankara untuk menangguhkan penghantaran senjata tersebut kepada mereka sehingga tahun 2020.

Meneruskan urus niaga S-400 membawa risiko yang tinggi kepada Turki, di mana AS mungkin akan mempertimbang untuk mengenakan sekatan ke atasnya sekali gus menjejaskan lagi ekonomi negaranya yang sedang gawat.

Pembelian senjata ini juga mencetuskan kemarahan pentadbiran Presiden Donald Trump, yang menegaskan bahawa mengintegrasikan sistem seperti ini ke dalam tentera kedua terbesar NATO akan membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting tentang keupayaan jet pejuang halimunan F-35.

Difahamkan, Turki terlibat dalam proses pembinaan F-35.

Tetapi, Erdogan menolak dakwaan AS itu sambil berkata bahawa pakar tentera Turki bijak dalam menentukan apa yang perlu dibeli atau tidak.

AS turut memberi amaran bahawa Turki mungkin akan dibuang daripada program F-35 selain daripada sekatan ekonomi.

Pembelian S-400 ini melambangkan aspirasi Ankara yang mahu memperoleh peranan yang lebih bebas dalam dasar-dasar serantau dan serta ketidakpercayaan Turki dan Rusia terhadap AS.

“S-400 merupakan sistem pertahanan yang mempunyai jarak jauh. Bagi rancangan pembayaran, Rusia telah memberi kami syarat-syarat yang amat sesuai,” ujar Erdogan sambil menambah bahawa Turki telah menghantar 100 orang jurutera ke Rusia untuk membantu membina senjata tersebut.

Sehubungan dengan itu, Erdogan berkata bahawa selepas S-400, pembinaan S-500 juga dipertimbangkan, di mana ia akan dibangunkan secara bersama oleh Rusia dan Turki.

Sumber: Bloomberg, Al-Jazeera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker