AntarabangsaIsu Semasa

AS Lulus Penjualan Peluru Berpandu Kepada Korea Selatan

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah meluluskan penjualan peluru berpandu pertahanan udara bernilai AS$313.9 juta (RM1.31 bilion) kepada Korea Selatan, susulan ketegangan yang kembali meningkat dengan Korea Utara.

Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA), Korea Selatan yang merupakan sekutu rapat AS telah meminta untuk membeli 94 buah peluru berpandu SM-2 yang digunakan oleh kapal perang untuk menangani ancaman udara, serta 12 sistem panduan dan bantuan teknikal.

“Penjualan itu akan menyokong polisi asing dan objektif keselamatan negara AS dengan membantu sekutu penting kami tanpa mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau tersebut,” jelas Jabatan Negara AS dalam satu kenya­taan.

Difahamkan, cadangan penjualan senjata ini timbul selepas Korea Utara mengkritik urus niaga pertahanan Korea Selatan dari AS, termasuk pembelian jet pejuang halimunan F-35.

Secara teknikalnya, Pyongyang dan Seoul masih dalam keadaan berperang kerana konflik Perang Korea pada tahun 1950-1953 hanya berakhir dengan gencatan senjata tanpa sebarang bentuk perjanjian damai rasmi.

Memetik laporan Reuters, Korea Selatan sudah pun menggunakan peluru berpandu SM-2 yang dibangunkan oleh syarikat pembangunan senjata Raytheon yang berpangkalan di AS.

Tetapi, ia juga sedang membangunkan lebih banyak sistem pertahanan pemusnah peluru berpandu untuk dilengkapi dengan senjata berkenaan.

Korea Utara juga tidak ketinggalan, di mana ia turut ‘bermegah’ dengan peluru berpandu permukaan ke udaranya.

Sementara itu, Pyongyang telah meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk menangani kes kapal kargonya yang dirampas secara ‘haram’ oleh AS.

“Tindakan merampas ini secara jelas menunjukkan bahawa Amerika Syarikat sememangnya adalah sebuah ‘negara samseng’ yang tidak langsung peduli tentang undang-undang antarabangsa,” kata duta Korea Utara ke PBB, dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Guteres.

Surat itu turut menggesa Guterres untuk mengambil “langkah segera”, sambil mendakwa bahawa AS telah mencabuli kedaulatan negara Korea Utara dan melanggar piagam PBB.

Memandangkan rundingan denuklearisasi di antara Korea Utara dan AS masih gagal mencapai sebarang perjanjian, Pyongyang telah mengadakan beberapa ujian senjata dalam bulan ini.

Ujian tersebut dilihat sebagai protes oleh pemimpinnya, Kim Jong-un apabila Trump menolak gesaannya untuk menarik sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara ketika sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button