Isu SemasaTempatan

39 Rakyat Malaysia Yang Terperangkap Di Syria Ingin Pulang

Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa terdapat 65 orang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Syria.

Beliau berkata, 39 orang daripada jumlah itu telah menghubungi keluarga mereka atau pihak berkuasa dan meminta untuk membawa mereka pulang semula ke Malaysia.

“Angka itu semakin meningkat. Panggilan terbaru yang kami terima adalah ketika bulan berpuasa ini,” katanya pada sidang media di Seri Pacific Hotel pada Sabtu, 18 Mei 2019.

Menurut Ayob, kebanyakan daripada 39 orang itu merupakan wanita dan kanak-kanak, di mana mereka kini berada di kem pelarian Al-Houl.

“Terdapat 11 wanita, 12 kanak-kanak lelaki, dan 6 kanak-kanak perempuan di kem tersebut.

“Bagi lelaki dewasa pula, 9 ditahan di penjara Al-Hasakah dan seorang lagi di Idlib,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, polis kini sedang berusaha untuk membawa mereka pulang, namun prosesnya akan mengambil masa kerana ia membabitkan penyelarasan dengan pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Ayob menyatakan bahawa semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang akan disoal siasat dan diberi kaunseling.

“Lelaki (dewasa) akan ditahan dan disoal siasat. Bagi wanita dan kanak-kanak pula, ia akan bergantung kepada kes mereka kerana mereka terpaksa mengikut suami (atau keluarga).

“Ketika proses soal siasat, kaunselor, ahli psikologi, dan ustaz akan memberi kaunseling, nasihat, dan menilai mereka supaya mereka tidak akan terlibat dalam terorisme lagi,” ujarnya.

Di Seri Pacific Hotel, Ayob menghadiri majlis berbuka puasa bersama 122 bekas militan dan tahanan, serta keluarga mereka yang telah kembali semula ke dalam masyarakat.

“Makan malam ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk meneruskan hubungan rapat bersama setiap seorang bekas tahanan kami. Kami berada bersama mereka dalam setiap langkah, daripada ditahan sehinggalah selepas mereka dibebaskan.

“Kami juga menziarahi mereka dengan kerap dan mereka boleh menghubungi kami sekiranya berdepan sebarang masalah, kewangan atau berkaitan dengan pekerjaan. Kami akan cuba bantu mereka,” katanya.

Ayob berkata, terdapat lebih daripada 500 bekas tahanan di Malaysia tetapi hubungan rapat yang dijalinkan oleh polis bersama mereka berjaya memastikan bahawa mereka tidak lagi kembali ke “cara lama” mereka.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker