Isu SemasaTempatan

Inisiatif “Kemakmuran Bersama” Akan Pastikan Tiada Golongan Yang Ketinggalan

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan telah menetapkan sasaran seawal 10 tahun bagi memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara, khususnya dari segi penguasaan ekonomi dalam masyarakat.

Menerusi inisiatif “kemakmuran bersama” yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa ia akan memastikan supaya tidak ada satu pun kelompok dalam masyarakat yang akan tertinggal, terbiar, tidak mencapai kemajuan, miskin, hidup papa dan susah.

“Sebab itu dengan adanya pandangan baru (kemakmuran bersama) yang telah dikemukakan, kerajaan berharap dalam tempoh 10 tahun, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan negara, terutamanya dari segi penguasaan ekonomi, dapat diperbaiki,” katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni pada Bulan Ramadan di luar Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, pada Jumaat, 17 Mei 2019.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan kepada sembilan individu selain bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak berkemampuan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menunjukkan bahawa kerajaan memahami tanggungjawabnya dalam memastikan tahap penguasaan ekonomi boleh dicapai menerusi persaingan yang sihat.

Dalam satu kenyataan, Dr Mahathir berkata bahawa “Kemakmuran Bersama” antara lain bermaksud usaha menjadikan Malaysia negara ‘yang terus menerus membangun secara mampan, seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi’.

Jelas beliau inisiatif berlandaskan tujuh teras itu akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

“Matlamat Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat,”

“Ini adalah untuk memastikan tiada satu pun kumpulan yang terlalu maju, menguasai sesuatu bidang jauh ke hadapan, sementara kumpulan masyarakat lain ketinggalan jauh di belakang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengingatkan seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam, supaya meningkatkan semangat bekerja serta mengambil peranan dan tanggungjawab terutama sempena bulan Ramadan yang mulia ini, agar tidak ketinggalan.

Walupun umat Islam di negara ini telah mencapai pelbagai kejayaan, Muhyidden menjelaskan bahawa masih banyak lagi usaha dan kejayaan yang boleh dicapai dalam pelbagai bidang.

Sumber: The Star, Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker