AntarabangsaIsu Semasa

Taiwan Negara Asia Pertama Iktiraf Perkahwinan Sejenis

Taiwan menjadi negara pertama di Asia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis apabila rang undang-undang itu diluluskan hari ini (17 Mei) dan ia dijangka merumitkan Presiden Tsai Ing-wen untuk memenangi penggal kedua dalam pilihan raya presiden tahun depan.

“Hari ini adalah hari yang membanggakan bagi Taiwan. Kami menunjukkan nilai kebaikan dan keterbukaan kepada dunia,” kata Tsai kepada wartawan.

“Melalui pengesahan ini, kita memastikan bahawa kasih sayang setiap orang adalah sama dan semua orang dilayan sama rata,” tambah Tsai yang berkempen untuk kesaksamaan perkahwinan pada pilihan raya presiden 2016.

Walau bagaimanapun, undang-undang itu hanya membenarkan perkahwinan sejenis di antara rakyat Taiwan atau dengan warga asing yang berasal dari negara yang mengiktiraf perkahwinan sejenis sahaja.

Ia turut membenarkan pengambilan anak angkat yang mempunyai pertalian darah dengan salah seorang pasangan yang berkahwin.

Undian untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis mengambil masa selama bertahun-tahun dan berakhir dengan perisytiharan 2017 oleh mahkamah yang memberikan pasangan sejenis hak untuk berkahwin dan menetapkan tarikh akhir 24 Mei untuk pelaksanaan undang-undang.

“Selepas 30 tahun, pasangan sejenis akhirnya boleh berkahwin,” kata pemuzik berusia 32 tahun, Ken Chen, yang berada di luar parlimen menonton siaran langsung perbahasan RUU itu.

Kumpulan hak asasi, Amnesty International mengalu-alukan keputusan akhir kempen yang panjang dan sukar itu.

“Kami berharap pengiktirafan ini menjana gelombang di seluruh Asia dan menawarkan rangsangan yang sangat diperlukan dalam perjuangan untuk kesamarataan bagi orang LGBTI di rantau ini,” kata Annie Huang, pengarah Amnesty International Taiwan.

Walau bagaimanapun, langkah ini dijangka menjadi halangan untuk Tsai mengekalkan kedudukan untuk penggal kedua dalam pilihan raya Januari, selepas kekalahan pungutan suara parti Democratic Progress Party tahun lalu dipersalahkan sebahagiannya atas kritikan terhadap agenda pembaharuannya, termasuk kesaksamaan pernikahan.

Pada penghujung tahun lalu, pengundi Taiwan menentang perkahwinan sejenis dalam siri referendum, mendefinisikan perkahwinan hanya sah antara lelaki dan wanita dalam undang-undang sivil.

Kumpulan konservatif yang menentang perkahwinan sejenis berkata pembaharuan undang-undang itu tidak menghormati kehendak rakyat.

“Suara kira-kira tujuh juta orang dalam referendum itu telah diketepikan. Kami akan menentang dalam pilihan raya tahun depan,” satu kumpulan, Gabungan Kebahagiaan Generasi Seterusnya berkata dalam satu kenyataan.

Australia meluluskan undang-undang yang membenarkan perkahwinan sesama jenis pada tahun 2017, tetapi ia tidak diiktiraf oleh Hong Kong dan negara jiran China, yang menganggap Taiwan sebagai wilayah yang perlu dipulangkan kepada Tanah Besar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close