Isu SemasaTempatan

Jika ‘Amalan’ Ini Berterusan, PTPTN Akan Dibelenggu Hutang RM76 Bilion Menjelang 2040

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibelenggu hutang bernilai RM76 bilion menjelang tahun 2040 jika ia terus menangguhkan pembayaran semula hutang pengajian peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih banyak daripada hutang semasa bernilai RM40 bilion yang sedang ditanggung oleh badan itu.

Mastura berkata, sistem serta amalan pembayaran balik jumlah pinjaman yang rendah menjadi punca PTPTN menanggung beban hutang ini, memandangkan ia terpaksa membuat pinjaman lebih besar dengan institusi kewangan bagi memastikan ia terus mampu mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baru.

Lebih memburukkan keadaan, hanya 49% daripada keseluruhan 3 juta orang peminjam PTPTN telah melunaskan hutang mereka.

Terdapat 616,000 peminjam yang tidak membayar secara konsisten, manakala 19% atau 356,000 peminjam pula tidak pernah membayar balik pinjaman mereka yang bernilai RM2.8 bilion secara keseluruhan.

Difahamkan, jumlah hutang pokok yang perlu dibayar oleh PTPTN kepada institusi kewangan setiap tahun bernilai di antara RM3 bilion sehingga RM6 bilion setiap tahun.

Bayaran faedahnya bernilai lebih daripada RM1.7 bilion setiap tahun pula ditanggung oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, faedah ini terus meningkat.

Dalam pada itu, Mastura menjelaskan bahawa PTPTN memerlukan dana yang lebih banyak untuk terus membantu jumlah pelajar yang semakin meningkat, yang dianggar akan mencecah 250,000 orang menjelang tahun 2040.

“Jumlah pelajar yang memerlukan pinjaman dari PTPTN juga menyaksikan peningkatan, dan dijangka akan terus berkembang daripada 180,000 hari ini kepada 250,000 pada 2040,” katanya.

Demi memastikan pinjaman dapat terus dikeluarkan, Mastura menegaskan bahawa peminjam-peminjam harus membayar pinjaman mereka secara konsisten dan penuh.

Beliau memberi amaran terdapat risiko tinggi fasiliti pinjaman kewangannya akan runtuh jika keadaan tidak berubah.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, 70% daripada peminjam tabung itu adalah individu yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Ujar Wan Saiful, bagi setiap RM7,000 yang berkurangan dalam aliran tunai, ia sekali gus akan menafikan akses seorang penuntut yang berpotensi untuk mendapatkan pinjaman pengajian.

“Jadi jika kita membebaskan seorang peminjam yang berhutang RM21,000 daripada tanggungjawabnya untuk melunaskan hutangnya pada hari ini, maka pada tahun depan akan terdapat tiga pelajar lepasan SPM yang mungkin akan ditolak permohonan pinjamannya,” jelas beliau.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close