AntarabangsaIsu Semasa

Dunia Perlu Sekat Bantuan Kewangan Tentera Myanmar

Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan situasi di Myanmar menggesa seluruh dunia untuk berhenti memberi bantuan dan sokongan-sokongan lain kepada angkatan tentera negara.

Ia juga menggesa pendakwaan dikenakan ke atas jeneral-jeneral kanan tentera Myanmar berikutan pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan terhadap etnik minoriti Islam Rohingya.

Sejak tentera melancarkan operasi ketenteraan pada tahun 2017, mereka dituduh melakukan pelbagai bentuk penindasan termasuk pembunuhan, rogol secara berkumpulan, dan membakar perkampungan Rohingya sehingga menyebabkan kira-kira 730,000 warga etnik tersebut terpaksa melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh.

Berdasarkan laporan panel PBB pada September lalu, pegawai-pegawai tentera yang melancarkan kempen ‘genosid’ (pembunuhan beramai-ramai) ke atas Rohingya perlu didakwa dan dibicarakan.

Namun, Myanmar menafikan secara keras segala tuduhan tersebut.

Menurut peguam hak asasi manusiaAustralia dan anggota panel PBB, Christopher Sidoti, beliau tidak nampak sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Myanmar sedang cuba untuk menyelesaikan krisis berkenaan atau memudahkan pemulangan pelarian Rohingya ke negara itu.

Bukan itu sahaja, malah Myanmar juga telah melarang pakar datang ke negaranya untuk mengadakan lawatan bagi melihat keadaan yang sedang berlaku.

Tetapi, pakar berpeluang untuk mengadakan lawatan di kem-kem pelarian di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Disebabkan pencabulan (hak asasi manusia) yang berterusan, perhatian perlu diberi kepada hubungan politik, ekonomi, dan kewangan dengan tentera Myanmar, untuk mengenal pasti siapa dan apa yang perlu disasarkan,” kata Sidoti.

Tambah beliau, langkah ini akan membantu usaha-usaha untuk menyekat bantuan kewangan sebagai cara meningkatkan tekanan ke atas tentera Myanmar, sekali gus mengurangkan keganasan.

Dalam pada itu, banyak negara Barat telah menggantung pelbagai program latihan dan mengenakan sekatan penjualan senjata susulan terhadap Myanmar susulan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.

Myanmar juga dilaporkan telah membantah pasukan misi pencarian fakta PBB apabila ia ditubuhkan di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada Mac 2017.

Penubuhan pasukan itu bertujuan khas untuk menyiasat pencabulan yang dilakukan oleh tentera ke atas Rohingya serta konflik-konflik lain berkaitan kumpulan etnik bersenjata di Myanmar.

Ujar jurucakap tentera, Mejar Jeneral Tun Tun Nyi, tentera akan menyiasat tuduhan-tuduhan dengan disokong oleh bukti, sambil mendakwa bahawa pasukan pencarian fakta PBB telah melemparkan tuduhan palsu ke atas mereka.

“Negara kita adalah sebuah negara merdeka, jadi kita tidak menerima hal-hal (dalam negara) kita dimasuk campur (oleh pihak asing),” katanya kepada Reuters.

Jelas beliau, tentera bekerjasama dengan panel-panel lantikan kerajaan berhubung dakwaan keganasan yang berlaku di Rakhine.

Walau bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata bahawa perkara itu ‘kekurangan kredibiliti’.

Menurut panel PBB, ia masih menerima laporan pencabulan hak asasi manusia di negeri Rakhine dan Chin, di mana pertempuran di antara tentera dan pemberontak daripada kumpulan etnik bersenjata Buddha sejak tahun lepas telah menyebabkan lebih daripada 30,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Sumber: The Star – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker