Isu SemasaTempatan

Ahli Parlimen Pembangkang Bakal Diwajibkan Isytihar Harta

Selepas mewajibkan Jemaah Menteri (Kabinet) dan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk mengisytihar harta masing-masing, kerajaan kini mahu MP pembangkang untuk melakukannya juga.

Langkah untuk mewajibkan MP pembangkang mengemukakan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan salah satu keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.

“Ahli Parlimen pembangkang juga ada kuasa iaitu mengkritik kerajaan.

“Sebagai balasan, mereka juga perlu mengisytihar aset-aset mereka,” kata Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun ujarnya, cadangan ini perlu dibawa kepada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Difahamkan, Perdana Menteri dan timbalannya turut diwajibkan untuk mengisytihar aset kepada SPRM.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut juga memuktamadkan beberapa perkara yang perlu dilakukan sebahagian daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) menteri-menteri, termasuk pengisytiharan aset oleh pegawai-pegawai dalam kementerian mereka.

“Ia adalah tanggungjawab menteri untuk memastikan pegawai-pegawai kanan kementerian mengisytihar aset mereka kepada SPRM,” ujar beliau.

Sebagai sebahagian daripada KPI mereka, menteri juga harus membuat dasar penerimaan hadiah bagi kementerian masing-masing dan memantau pelaksanaannya.

Peraturan penerimaan hadiah sedia ada menetapkan bahawa Perdana Menteri dan Kabinetnya hanya boleh menerima bunga dan makanan bernilai RM500 ke bawah.

Sebarang hadiah yang bernilai lebih daripada RM500 hanya boleh diterima dengan adanya kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir, menteri juga perlu mengawasi pengwujudan dasar anti-rasuah di kementerian masing-masing dan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya.

Mesyuarat berkenaan juga memutuskan bahawa calon-calon bagi jawatan tinggi dalam entiti-entiti kerajaan, termasuk jawatan pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli lembaga pengarah, perlu menjalani pemeriksaan khusus oleh SPRM dan Jabatan Insolvensi.

Pemeriksaan latar belakang pendidikan, kesihatan, dan penglibatan calon pemegang jawatan dalam syarikat-syarikat lain akan turut dilaksanakan.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker