Isu SemasaTempatan

PDRM Berkas Sekumpulan Pengganas Yang Mahu Bunuh ‘4 VIP’

Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman telah berjaya menangkap empat anggota sel pengganas IS pada minggu pertama Ramadan yang merancang untuk melancarkan serangan keganasan dengan menggunakan 6 buah alat letupan reka ganti (IED) sepanjang 18 cm.

Menurut polis, suspek-suspek yang telah ditahan amat hampir dalam melaksanakan rancangan mereka, yang menyasarkan empat orang VIP serta rumah ibadat bukan-Islam di Lembah Klang.

IED yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu dikatakan mampu meragut nyawa ribuan orang di bandar sekiranya rancangan pengganas tersebut berjaya dilaksanakan.

“Mereka amat hampir untuk melancarkan serangan kerana IED itu tidak rumit untuk digunakan.

“Jika mereka berjaya (melancarkan serangan), pasti buruk akibatnya. Namun, kami berjaya mengumpul maklumat perisikan yang membawa kepada penangkapan dalang dan tiga anggota lain,” kata Ketua Polis Negara baru, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam satu sidang akhbar pada Isnin.

BUTIRAN TANGKAPAN

1. Suspek Pertama

– Rakyat Malaysia berusia 34 tahun

– Ketua sel pengganas dan dalang disebalik rancangan serangan

– Ditangkap di Kuala Berang, Terengganu pada 5 Mei 2019

2. Suspek Kedua

– Lelaki berketurunan Rohingya berusia 20 tahun

– Pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)

– Merancang serangan terhadap Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan mahu ‘berjihad’ di Rakhine.

– Ditangkap di Kuala Lumpur pada 7 Mei 2019

3. Suspek Ketiga

– Rakyat Indonesia berusia 49 tahun

– Merancang untuk ‘berjihad’ di Syria

– Ditangkap di Subang Jaya pada 7 Mei 2019

4. Suspek KeempatĀ 

– Lelaki berketurunan Rohingya berusia 25 tahun

– Ditangkap di Jalan Klang Lama pada 7 Mei 2019

PENGGANAS MAHU ‘BALAS DENDAM’ KEMATIAN ADIB

Selain daripada IED, polis turut merampas pistol 9mm buatan Czech dan 15 butir peluru. Senjata-senjata tersebut ditemui di rumah milik dalang dan ketua sel pengganas itu di Kuala Berang, Terengganu.

Difahamkan, IED tersebut hanya mengambil masa kira-kira 7 saat untuk meletup selepas ia diaktifkan.

“Ia mempunyai radius letupan 50 meter, mampu membunuh hampir semua orang di dalam sesuatu kawasan itu,” kata sumber.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menyatakan bahawa sel pengganas itu juga merancang untuk ‘membalas dendam’ terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban selepas cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 26 November yang lalu.

“Sel ini juga merancang untuk melakukan operasi pembunuhan terhadap personaliti-personaliti yang berprofil tinggi yang mereka tuduh tidak memperjuangkan dan sebaliknya menghina Islam,” katanya.

Tambah Abdul Hamid, sel pengganas itu dipercayai ditubuhkan pada bulan Januari tahun ini, dan beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sel tersebut bertindak mengikut arahan daripada pemimpin-pemimpin kanan IS di Syria.

Namun, ini bukan pertama kali VIP Malaysia menjadi sasaran pengganas.

Beberapa tahun lalu, pengganas dilaporkan mempunyai rancangan untuk menculik dan membunuh pemimpin-pemimpin Malaysia, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber: The Star, FMT

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker