Sukan

Bila Agaknya Kemelut Kafa Ini Bakal Diselesaikan?

“Tak perlu guling, bawa calon yang layak.”

Demikian saranan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan kepada ahli gabungan badan induk itu supaya mengemukakan nama individu yang mampu menggantikannya sebagai presiden baharu seperti yang dilaporkan SinahHarian.

Bibi Ramjani berkata, beliau mengalukan mana-mana pemegang taruh Kafa untuk mengangkat calon penggantinya dan kemudian usahawan batik itu sendiri akan melepaskan jawatan nombor satu berkenaan.

 

Bawa Calon Yang Sempurna Dulu

“Minta PBJ bawa calon yang mereka rasa betul-betul sempurna, saya sendiri akan keluar (letak jawatan). Kita bukan orang politik, semua IC (kad pengenalan) 03 (kod negeri Kelantan).

“Kita mesti nak tengok Kelantan menjadi pasukan yang disegani sebab mandat yang diberikan (hingga) 2021, jadi tak perlu nak guling. Kita ini semua ke arah satu tujuan untuk (perbaiki) imej bola sepak Kelantan,” katanya ketika mengulas desakan terbaharu ahli gabungan Kafa yang mahu beliau disingkirkan.

 

Mendesak Presiden Baharu Bulan Depan

Semalam tujuh PBJ bakal mengutus surat mendesak Kafa mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memilih presiden baharu, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad, berkata pihaknya sudah bersetuju untuk melancarkan undi tidak percaya kepada Bibi Ramjani atas ketidakmampuan tokoh usahawan batik itu menguruskan persatuan itu.

Kamarudin juga berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk PBJ mengemukakan usul berkenaan memandangkan terlalu banyak kelemahan yang dimiliki tokoh usahawan batik itu sepanjang dua tahun mengemudi KAFA termasuklah prestasi skuad The Red Warriors (TRW) yang kini terhumban di dasar Liga Perdana.

 

Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah Selar Bibi

Selain itu, Kamarudin turut menyelar tindakan Bibi Ramjani yang sewenang-wenangnya mahu menyerahkan jawatan nombor satu itu menerusi ‘jalan belakang’ tanpa mengikut perlembagaan persatuan berkenaan.

“Bibi kata dia nak beri kalau sesiapa nak ambil jawatan itu. Sebenarnya, tidak boleh macam tu kerana ini adalah persatuan dan bukannya harta pusaka.

“Kena melalui pemilihan, bukan main ganti macam tu sahaja. Persatuan ada kaedah tertentu, ada saluran yang betul.

“Calon presiden baru Datuk Seri Amril (Aiman) juga perlu berjumpa dengan PBJ jika berminat mahu ambil alih tampuk pentadbiran KAFA,” katanya.

 

Penggal Presiden Sebenarnya Berakhir 2021

Penggal pentadbiran Bibi Ramjani bakal berakhir dua tahun lagi namun tekanan demi tekanan daripada PBJ dan penyokong setia bola sepak negeri itu memungkinkan beliau memendekkan tempoh perkhidmatannya, tidak lama lagi.

“Saya pun sebenarnya dah lama bersedia untuk beri (jawatan) kepada orang yang mampu, rasanya saya tak mampu atasi (kemelut persatuan) seorang diri,” ujar Bibi Ramjani.

 

Ada Ahli Perniagaan Menawar Diri

Sebelum ini pada 30 April, ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz, yang tampil menawarkan diri bagi menyahut cabaran presiden wanita itu sebelum ini.

“Masa berbincang saya sudah beritahu berhubung masalah kewangan yang dihadapi KAFA, apa yang penting sekarang dana perlu ada sebelum terajui persatuan, kena korban sikit bila mahu jadi pemimpin terutamanya dalam bola sepak,” kata Bibi.

 

Harap Bukan Cakap Kosong

“Saya harap perkara ini tidak hanya cakap kosong, kerana masalah KAFA tidak selesai dengan cakap sahaja, kerana sebelum ini saya memulakan menjadi presiden membawa dana RM 1.5 juta bagi menyelesaikan masalah terutamanya tunggakan gaji,” tambahnya.

Bibi Ramjani dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018 hingga 2021 pada kongres Tahunan KAFA ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meletak jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.

 

Apa Kata Datuk Seri Vida Yang Pernah Menaja TRW?

Astro AWANI sempat menemubual Bekas penaja pasukan Kelantan, The Red Warriors, TRW, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida di Kelantan tentang isu Kafa.

Datuk Seri Vida menasihatkan sesiapa yang ingin menerajui TRW atau mengambil alih pasukan bola Kelantan perlu bersedia sepenuhnya dari segi kewangan yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam menjaga pengurusan bola itu.

Vida mengakui dirinya hampir muflis sewaktu menaja TRW dahulu kerana banyak dilaburkan namun kesan kepada penjualan produknya tidak ke mana.

Ketika diminta melontarkan pandangan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan, Vida menasihatinya supaya memikirkan semasak-masak kerana sebagai ahli perniagaan, bolasepak bukannya tempat sesuai untuk melabur dan mengharapkan pulangan kepada perniagaan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker