AntarabangsaIsu Semasa

“AS Telah Mulakan ‘Perang Psikologi’ Di Timur Tengah” – Iran

Komander pasukan elit Iran, Pengawal Revolusi menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah memulakan ‘perang psikologi’ di Timur Tengah.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika sesi Parlimen pada Ahad minggu lalu, sehari selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan politik dan ekonomi susulan ketegangan yang semakin meningkat di antara Tehran dan Washington.

Memetik laporan media antarabangsa, tentera AS telah menghantar jentera-jenteranya, termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 ke Timur Tengah sebagai tindak balas kepada apa yang dikatakan oleh Presiden Donald Trump sebagai “isyarat jelas” ancaman dari Iran ke atas tentera AS di sana.

“Komander Salami, dengan perhatian terhadap situasi di wilayah ini, membentangkan analisis bahawa Amerika sudah memulakan perang psikologi, kerana kedatangan dan pengunduran tentera mereka sudah menjadi perkara biasa,” kata jurucakap kepimpinan parlimen, Behrouz Nemati, merujuk kepada Mejar Jeneral Hossein Salami.

Pada Sabtu baru-baru ini, Rouhani memaklumkan bahawa tindakan “menyerah kalah” tidak sesuai dengan budaya dan agama di Iran, malah tidak dapat diterima oleh rakyat.

“Oleh itu, kita tidak boleh menyerah kalah dan kita perlu mencari penyelesaian,” menurut kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang pejabat beliau.

Pada Rabu lepas pula, Rouhani mengumumkan bahawa Tehran akan mula berundur daripada aspek-aspek utama perjanjian nuklear 2015 melainkan “kuasa-kuasa besar” berjanji untuk menarik semula sekatan-sekatan yang dikenakan ke atasnya dengan segera.

Berikutan pengumuman itu, Trump berkata beliau mahu mendengar pandangan secara langsung oleh pemimpin-pemimpin Iran.

“Apa yang saya mahu lihat dengan Iran – Saya mahu Iran untuk menghubungi saya.

“Kita bukan mahu menyakiti Iran. Kita mahu mereka menjadi kuat dan hebat dan mempunyai ekonomi yang hebat,” ujar Trump.

Dalam pada itu, Rouhani turut membandingkan keadaan negaranya pada masa ini berbanding Perang Iran-Iraq yang berlangsung selama 8 tahun pada sekitar 1980an.

“Hari ini, ia tidak boleh dikatakan bahawa keadaan lebih baik atau buruk berbanding Perang (dengan Iraq), tetapi ketika peperangan itu kita tidak mempunyai masalah dengan perbankan, penjualan minyak, import dan eksport, dan satu-satunya sekatan yang dikenakan adalah ke atas pembelian senjata,” tegas beliau.

Difahamkan sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata bahawa Rumah Putih sedia untuk berbincang bersama Iran dalam usaha menyelesaikan konflik yang sedang berlangsung.

Komander Pengawal Revolusi turut menyatakan bahawa kehadiran tentera AS di Teluk pernah menjadi ancaman yang serius, tetapi kehadiran mereka kini menjadi satu ‘peluang’.

“Sebuah kapal pengangkut pesawat yang mempunyai sekurang-kurangnya 40 hingga 50 pesawat dan 6,000 anggota tentera di dalamnya sebelum ini adalah ancaman serius bagi kami.

“Tetapi sekarang, ancaman telah bertukar menjadi ‘peluang’….Jika (Amerika) membuka langkah, kami akan ‘tembak mereka di kepala’,” ujar Brigadier Jeneral, Amirali Hajizadeh, ketua divisyen aeroangkasa Pengawal Revolusi Iran.

Sumber: Bloomberg, Reuters, Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker