AntarabangsaIsu Semasa

Penjara Rejim Assad Di Syria Ibarat ‘Neraka’

Laporan akhbar The New York Times pada minggu lalu mendedahkan keadaan di dalam penjara rejim Bashar al-Assad di Syria.

Sementara tentera rejim Assad memerangi kumpulan pemberontak, kerajaannya juga melancarkan peperangan ke atas rakyatnya sendiri.

Angka sebenar berapa ramai orang awam yang disumbatkan ke dalam penjara tidak diketahui, tetapi menurut Syrian Network for Human Rights, kira-kira 128,000 rakyat Syria telah ditahan atau meninggal dunia.

Dalam pada itu, hampir 14,000 orang terbunuh akibat diseksa.

Perang Saudara di Syria telah bermula sejak awal tahun 2011 apabila rejim Assad dilaporkan menggunakan kekerasan ketenteraan ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi yang terdiri daripada orang awam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu orang telah terbunuh dan lebih daripada 10 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak peperangan itu mula tercetus.

Kini sudah memasuki tahun ke-9 konflik itu, jumlah individu yang ditahan menyaksikan peningkatan.

“Tahun lepas, Syrian Network merekodkan 5,607 tangkapan baru yang dilakukan secara sembarangan – lebih daripada 100 tangkapan dilakukan setiap minggu dan hampir 25% lebih banyak berbanding tahun sebelum ini,” kata NY Times dalam laporannya.

Tambah akhbar itu, memo-memo kerajaan mendedahkan bahawa pegawai-pegawai kerajaan Syria yang rapat dengan Assad telah mengarahkan tahanan besar-besaran.

Pada beberapa bulan yang lalu, rejim Assad mengakui bahawa telah berlaku ratusan kematian individu yang berada di dalam pusat tahanan.

Pengasas Syrian Network, Fadel Abdul Ghany berkata, ini merupakan strategi taktikal rejim tersebut yang bertujuan untuk menghantar mesej:

“Kita telah menang, kita telah melakukannya, dan tiada seorang pun yang akan menghukum kita”.

TAHANAN DISEKSA TERUK

NY Times mendedahkan bahawa terdapat pelbagai kes seksaan yang dilakukan oleh rejim itu.

Kebanyakan kes berlaku di Penjara Saydnaya, yang dikenali sebagai sebuah tempat di mana banduan/tahanan dihantar secara beramai-ramai untuk dibunuh.

Salah satu kes paling ekstrem membabitkan seorang pelajar bernama Muhannad Ghabbash, yang ditahan berkali-kali sejak perang saudara mula berlaku.

Selepas ditangkap buat kali ketiga, Ghabbash dipukul dengan teruk, kadang kala ditempatkan di satu tempat sejuk dalam keadaan telanjang, dan diletakkan pistol dalam mulutnya oleh seorang pegawai penjara.

Seorang lagi mangsa seksaan yang terselamat berkata bahawa dia telah menyaksikan “seorang remaja yang mengambil masa 21 hari untuk meninggal dunia selepas tukang soal siasat menyiramnya dengan minyak dan kemudian membakarnya.”

PENGAWAI PENJARA BERNAMA ‘HITLER’ LAYAN TAHANAN SEPERTI BINATANG

Ghabbash mendedahkan bahawa seorang pegawai penjara yang menggelar dirinya sebagai ‘Hitler’ gemar menganjurkan “hiburan makan malam sadis”.

Ketika ‘sesi’ itu, Hitler akan memaksa tahanan-tahanan untuk berlakon menjadi binatang, sambil meminta mereka untuk menyalak seperti anjing, atau berkokok seperti ayam.

“Anjing perlu menyalak, kucing perlu ‘meow’, ayam pula berkokok.

Hitler kemudian akan ‘menjinakkan’ mereka. Apabila dia membelai seekor ‘anjing’ itu, ‘anjing-anjing’ yang lain perlu berasa cemburu,” kata Ghabbash.

SELAIN WANITA, LELAKI TURUT DIROGOL

Perbuatan rogol dan serangan seksual dilaporkan berleluasa di penjara-penjara rejim Assad.

Tahun lepas, laporan suruhanjaya hak asasi manusia PBB berkata bahawa wanita dan kanak-kanak perempuan telah dirogol dan diserang secara seksual di sekurang-kurangnya 20 cawangan perisikan di Syria.

Bukan itu sahaja, malah lelaki dewasa dan kanak-kanak juga turut menjadi mangsa rogol di sekurang-kurangnya 15 cawangan.

Wanita-wanita yang tidak dirogol pula akan dicabul, dihina secara seksual, menerima ugutan rogol, dan menjalani ‘pemeriksaan secara telanjang.’

NY Times berkata, sebarang harapan untuk membawa rejim Assad ke muka pengadilan masih pudar, tetapi langkah-langkah untuk mencari keadilan menerusi mahkamah Eropah semakin meningkat.

Difahamkan, pihak berkuasa Perancis dan Jerman telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atas Ali Mamlouk, ketua keselamatan negara kerajaan Assad, dan pengarah perisikan Tentera Udara, Jamil Hassan berikutan kes-kes seksaan dan pembunuhan yang berlaku di penjara.

Sumber: Middle East Monitor, NY Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button