AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Dalam Misi Memindahkan Pusat Pentadbiran

Presiden Indonesia, Joko Widodo telah memutuskan untuk memindahkan pusat pentadbiran Indonesia di Jakarta ke suatu kawasan baru di daerah Kalimantan.

“Presiden memilih untuk memindahkan ibu kota keluar dari pulau Jawa dan ia adalah satu keputusan penting,” kata Menteri Bambang Brodjonegoro dalam sidang berita selepas pertemuan kabinet.

Beliau berkata pemindahan ibu kota dari bandar Jakarta, di pantai utara Jawa, boleh mengambil masa sehingga 10 tahun dengan menyebut contoh seperti Brazil, Malaysia dan Kazakhstan.

Jokowi mengarahkan kabinetnya untuk memulakan kerja memindahkan ibu kota di luar pulau Jawa yang menempatkan lebih daripada 60 peratus daripada 264 juta rakyat Indonesia itu kerana beliau mahu memastikan pembangunan ekonomi kekal seimbang.

Walaupun isu pemindahan pusat pentadbiran Indonesia telah dibincangkan secara berkala selama beberapa dekad, ia menjadi keperluan mendesak kerana Jakarta kini semakin berada dalam kedudukan bahaya.

Jakarta adalah mangsa perubahan iklim, kesan perbuatan manusia dan juga menjadi mangsa dasarnya sendiri. Bandar ini semakin tenggelam, satu proses yang dikenali sebagai penenggelaman tanah kerana penduduk dan industri telah menguras akuifer sehingga menyebabkan tanah runtuh.

Beberapa pengguna media sosial menamakan Kalimantan Tengah dan Kalimatan Timur sebagai lokasi yang paling sesuai untuk pusat pentadbiran baru, sementara pengguna Twitter lain mencadangkan pembinaan bangunan moden yang mesra alam seperti di Belanda, Jepun dan New Zealand.

Jokowi telah membuat tinjauan selama dua hari ke bandar-bandar yang berlainan di Kalimantan di pulau Borneo untuk mencari lokasi ibu kota baru yang sesuai.

Setelah menamatkan perjalanan selama dua hari di seluruh pulau itu, Presiden kelihatan kagum dengan sekurang-kurangnya dua lokasi: Bukit Soeharto di Kalimantan Timur dan Kawasan Segitiga dekat Palangkaraya di Kalimantan Tengah.

Namun, kedua-dua pilihan itu menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli alam sekitar yang mengatakan keputusan untuk memindahkan pusat kerajaan ke Kalimantan mungkin membawa kepada bencana alam sekitar di dalam atau di sekitar ibu kota yang baru.

Dwi Sawung dari Forum Alam Sekitar Indonesia (Walhi) berkata kebanyakan tanah di Kalimantan adalah tanah gambut. Perubahan sedemikian boleh mengancam rizab karbon sedia ada dan memburukkan lagi pemanasan global, walaupun kerajaan berusaha untuk mengurangkan perubahan iklim.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker