AntarabangsaIsu Semasa

Penjara Di Iraq Boleh Menjadi ‘Akademi’ Militan IS?

Sementara Iraq menempatkan ribuan warga tempatan dan asing dalam penjara kerana disyaki menyertai militan IS, pakar memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan penjara itu dijadikan sebagai ‘akademi’ bagi pengganas berkenaan.

“Sel penjara menjadi sama seperti akademi – walaupun hanya terdapat seorang banduan yang mempunyai pandangan ekstremis, dia boleh merekrut yang lain,” kata Hisham al-Hashemi, seorang pakar dalam pergerakan militan Iraq.

Jelas al-Hashemi, banduan-banduan militan melaksanakan ‘kursus agama’ mereka tersendiri dan juga merancang plot serangan terhadap orang awam atau pembunuhan pasukan keselamatan dari dalam penjara.

Difahamkan, Iraq telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas ramai individu atas kesalahan menyertai IS.

Walau bagaimanapun, sistem penjara turut dikritik hebat oleh kumpulan-kumpulan advokasi yang menuduh pasukan keselamatan menggunakan keterangan berdasarkan keadaan (circumstantial evidence) untuk menahan orang atas dakwaan terorisme.

Pihak berkuasa juga didakwa menyeksa suspek agar membuat pengakuan secara paksa dan menempatkan mereka dalam penjara sesak tanpa membenarkan mereka mendapatkan akses peguam.

Memetik laporan AFP, sumber dari penjara berkata bahawa sel-sel yang boleh memuatkan 20 banduan selalunya disumbat dengan 50 banduan.

Dalam pada itu, penganalisis keselamatan, Fadel Abu Raghif berkata bahawa individu-individu yang ditahan kerana melakukan kesalahan-kesalahan jenayah kecil selalunya mempunyai pandangan ekstremis tegar.

“Kebanyakan daripada mereka yang ditahan adalah ahli perundangan dan pemikir. Mereka boleh berhujah, mengemukakan bukti, mempengaruhi dan memujuk orang lain,” katanya.

Tambah Abu Raghif, banduan-banduan yang direkrut menjadi militan dalam penjara juga pada asalnya bukan ortodoks agama, tetapi sebaliknya terpengaruh dengan retorik “penindasan” yang berlaku.

Walau bagaimanapun, kerajaan Iraq dilaporkan tidak menerbitkan angka sebenar tentang beberapa ramai suspek yang berdepan dakwaan berhubung keganasan.

Tetapi berdasarkan sesetengah kajian, anggaran suspek yang ditahan kerana mempunyai kaitan dengan militan IS adalah seramai kira-kira 20,000 orang.

 

Sumber: Daily Star – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker