Isu SemasaTempatan

Hubungan EU-Malaysia Kekal Utuh Meskipun Perselisihan Isu Minyak Sawit

Kesatuan Eropah (EU) optimis bahawa hubungannya dengan Malaysia akan terus kekal utuh walaupun berlaku perselisihan berhubung isu minyak sawit.

Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, walaupun buat masa ini tiada larangan minyak sawit di EU, ia terbuka untuk berdialog dengan Malaysia dalam usaha menyelesaikan persengketaan pendapat tentang perkara itu.

“Hubungan kami adalah lebih daripada minyak sawit dan kita tidak boleh membiarkannya (isu ini) menjejaskan hubungan yang telah dijalinkan sekian lama.

“Kita perlu melihat pada jalan tengah dan penyelesaian jangka masa panjang dan kami sentiasa terbuka untuk dialog, mendengar (pandangan) rakan kongsi kami di Malaysia,” katanya ketika sambutan Hari Eropah baru-baru ini.

Hari Eropah merupakan acara tahunan yang disambut pada 9 Mei oleh kesemua 28 negara anggota EU bagi memperingati Pengisytiharan Schuman – ditandatangani pada 9 Mei 1950 – yang membawa kepada kelahiran kesatuan itu.

Malaysia dan EU bercanggah pendapat berhubung cadangan kesatuan tersebut untuk mengehadkan penggunaan minyak sawit dalam biofuel bermula tahun 2021 dan mengharamkannya secara menyeluruh menjelang 2031.

Menurut EU, penanaman kelapa sawit telah membawa kepada penebangan hutan dan menyebabkan perubahan iklim.

Namun, Malaysia membidas dakwaan tersebut sambil menyifatkannya sebagai “mengelirukan dan menjejaskan ekonomi industri”, khususnyaterhadap  kira-kira 650,000 pekebun kecil minyak sawit di dalam negara.

Difahamkan, Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

Berdasarkan data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, negara telah mengeksport 1.91 juta tan minyak sawit ke EU pada tahun 2018, kurang 4% daripada 1.99 tan yang dicatatkan pada 2017.

EU pula adalah pengimport minyak sawit Malaysia yang kedua selepas India, dengan membeli 12% daripada keseluruhan minyak sawit yang dihasilkan pada 2018.

Jelas Fernandez, wakil-wakil EU di Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan, pekebun kecil kelapa sawit  dan komuniti tempatan, serta melawat lading-ladang untuk mendapatkan pengetahuan secara langsung tentang isu berkenaan.

“Kami (EU) merupakan rakan kongsi rapat Malaysia dan kami perlu bekerjasama untuk (menjaga) hubungan ini dan cuba mengatasi cabaran-cabaran seperti isu minyak sawit ini.

“Kita sudah pun melakukan pelbagai perkara bersama, dan terdapat banyak lagi yang boleh dilakukan bersama,” ujar beliau.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker